Ada beberapa pihak termasuk cybertrooper daripada PN dan PH yang menyatakan bahawa kita tidak boleh komen berkenaan keputusan mahkamah rayuan ke atas Dato’ Sri Najib kerana kononnya itu adalah menghina mahkamah atau “contempt of court“.
Saya tidak pasti dari mana mereka ini belajar undang-undang dan pada hemat saya kenyataan mereka ini tidak betul.
Mengikut undang-undang, “contempt of court” atau tindakan menghina mahkamah adalah apabila seseorang membuat sesuatu untuk mempengaruhi keputusan mahkamah secara tidak adil.
Dan antara tindakan-tindakan yang boleh dianggap “contempt of court” (iaitu semasa perbicaraan berlangsung dan sebelum keputusan dibuat) itu adalah:
1. Jika seseorang menyatakan tertuduh itu bersalah atau tidak bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan.
2. Menyatakan sabitan kesalahan tertuduh yang terdahulu.
3. Menamakan seseorang atau saksi yang hakim mengarahkan tidak dinamakan.
4. Menamakan saksi, mangsa, atau pelaku yang berumur bawah 18 tahun.
5. Menamakan mangsa jenayah seksual.
6. Menyatakan kepada umum fakta kes yang hakim telah mengarahkan tidak disiarkan kepada umum.
Jika keputusan telah dibuat, elemen “mempengaruhi keputusan mahkamah” itu tidak lagi wujud oleh itu tindakan kesalahan “contempt of court” itu tidak lagi relevan kerana ia tidak lagi mempengaruhi keputusan dan perbicaraan telahpun tamat.
Jika seseorang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah atau keputusan hakim, itu bukanlah “contempt of court“, sebaliknya itulah sememangnya sebab untuk membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.
Jika semua pihak setuju dengan keputusan mahkamah, tidak perlulah buat rayuan. Rayuan dibuat kerana ada pihak tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dan berpandangan bahawa hakim telah terkhilaf.
Menyatakan asas-asas ketidaksetujuan dan fakta-fakta kekhilafan ini bukanlah “contempt of court“.
Pihak yang kalah boleh komen dan menyatakan asas-asas rayuan dan ketidaksetujuan mereka ke atas penghakiman untuk membentangkannya di mahkamah yang lebih tinggi, ini adalah proses-proses biasa undang-undang.
Jika kita tidak boleh kritik keputusan mahkamah dan mengkritik keputusan mahkamah adalah dikira menghina mahkamah, maka hampir semua penulis-penulis buku undang-undang yang mengulas kes-kes mahkamah dan keputusan hakim selama ini akan dikenakan tindakan “contempt of court“.
Kita perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
Saya akan terus komen dan ulas berkenaan kes Dato’ Sri Najib supaya keadilan ditegakkan dan penganiayaan dielakkan.
Sekian.
ISHAM JALIL
10 Disember 2021
https://www.facebook.com/100044476781936/posts/463161811843041/?d=n