KEGAGALAN MENANGANI BANJIR, KERAJAAN PERLU BERTANGGUNGJAWAB – PUTRA

346
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PARTI PUTRA MALAYSIA

1.BIRO POLITIK & PENGURUSAN PARTI PUTRA yang bermesyuarat pada 22hb Disember 2021 melahirkan rasa kesal yang amat sangat, dukacita dan mengecam kegagalan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang gagal secara total menangani ancaman banjir yang mula berlaku pada Khamis malam Jumaat pada 18 Disember 2021.

2. Setakat hari ini sudah 54 nyawa terkorban. Tidak ada tindakan pantas dan berkesan untuk menyelamat mangsa banjir. Langsung tidak ada penyelarasan antara agensi-agensi yang terlibat dan aset-aset yang ada gagal digerakkan sepenuhnya. NADMA yang merupakan Agensi Pengurusan Bencana Negara seolah-olah tidak wujud dan lepas tangan. Anggota polis, ATM, pasukan bomba, Pertahanan Awam dan ada lagi lain-lain agensi, namun semuanya terkial-kial untuk bertindak pantas.

3. PUTRA mendesak NADMA dirombak segera dan susunan kakitangannya dari Ketua Pengarah dan seluruhnya kakitangan kanan. Ketua Pengarah wajib ditukar dan Menteri serta Timbalan Menteri yang menjaga serta mengawal selia NADMA wajib letak jawatan. Jangan membazir wang rakyat dengan gaji puluhan ribu satu bulan. Memang “bow tie” tidak sesuai dengan tugas menangani banjir yang memerlukan pemimpin yang agresif dan cekap.

4. Baru berlaku seorang Menteri negara Kuwait letak jawatan kerana gagal urus banjir. Di Jordan, ada menterinya meletakkan jawatan juga kerana gagal menguruskan banjir. Di Jerman pula, seorang menterinya juga didesak meletakkan jawatan kerana gagal menguruskan banjir. Yang peliknya di Malaysia, yang gagal, yang karut dan yang menyalahguna kuasa dilantik, malah naik pangkat dan ada rakyat yang beriya mencium tangannya.

5. PUTRA mengingatkan kepada Perdana Menteri jangan pula melantik ‘Penasihat Banjir’ bertaraf Menteri kerana penasihat-penasihat yang sudah dilantik ini hanya membazir wang rakyat, kerana jumlah Menteri dan Timbalan Menteri paling ramai dalam dunia adalah di Malaysia, berbanding jumlah rakyatnya yang kecil. Belum masuk Duta-duta Khas yang hanya “makan gaji buta”. Peranannya bertindih-tindih sehingga banyak yang bercelaru kerana kegagalan penyelarasan. Malaysia sudah benar-benar jadi negara hodoh dengan pelbagai perkara angkara kegagalan menangani isu-isu penting termasuk pandemik Covid-19 yang sedang mengancam keselamatan kesihatan rakyat.

6. PUTRA mendesak kerajaan untuk mengambil tanggungjawab, membayar pampasan ganti rugi kepada keluarga yang menjadi mangsa korban banjir iaitu RM200 ribu seorang, dan RM30 ribu bagi setiap rumah yang musnah. Manakala pampasan berjumlah RM5 ribu bagi setiap kenderaan yang rosak. Kalau kerajaan mampu berfikir untuk mendenda rakyat daripada jumlah RM10 ribu kepada RM100 ribu kerana melanggar SOP, mengapa tidak bersedia membayar RM200 ribu kepada setiap rakyat yang menjadi korban banjir? 

7. Jangan pula ada desakan mengadakan PRU-15 dahulu sebelum ada tindakan menyusun strategi menangani isu-isu keselamatan rakyat dan negara secara berkesan.

Malaysia sudah benar-benar bertukar corak sebagai negara “Ayam berkokok hari tidakpun siang”. Negara pimpinan yang hanya beretorik dengan perangai dan tingkah laku yang memalukan. Mungkinkah kerana kerajaan Keluarga BN dan PN lemah kerana ia bukan kerajaan yang mendapat mandat rakyat PRU-14 sebelum ini. Entahlah.

Semoga Allah selamatkan rakyat dan negara Malaysia daripada bersilih ganti musibah yang mendatang tanpa putus.

Terima kasih. 

PUTRA PERKASA NEGARA

PERJUANGAN BERSIH DAN BERMORAL

Ashraf Rosli

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts