Dalam mengulas mengenai tindakan Presiden PAS Tok Guru Haji Hadi yang akhir-akhir ini asyik ‘meroyan’ dan dilihat sangat terdesak mahu membantu Bersatu agar tidak dibenamkan oleh rakyat pada setiap PRN dan PRU-15 kelak, Dato’ Seri Utama Mohamad Bin Hasan secara matang menjawab persoalan tersebut.
“Pilihan Raya Negeri Johor diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kerana ia kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.”
“Menteri Besar Johor mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baru dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.”
“Beliau diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai keadaan dan keperluan, bagi pembubaran DUN.”
“Menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman, istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja.”
Tindakan Haji Hadi yang terdesak membantu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Bersatu itu dilihat hanya merugikan PAS malah menimbulkan istilah-istilah ‘kluster’ yang dicipta oleh musuh-musuh UMNO sebelum ini untuk menimbulkan persepsi tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Hadi selaku ulamak PAS tersohor wajib membuktikan tuduhan beliau, selaras dengan syariat Islam. Jika tidak, Haji Hadi hanya membuat kenyataan membabi-buta yang hanya bersifat fitnah.
Selain itu, jika beliau hanya berlandaskan ‘cakap-cakap’ Mahiaddin dan Bersatu yang amat diyakininya, ini juga merupakan tuduhan dan berdosa besar jika Haji Hadi tidak menyemak dan mengesahkan tuduhan tersebut kerana dosa fitnah ini lebih berat daripada membunuh. Tentu Haji Hadi lebih arif mengenai dosa dan pahala berbanding UMNO sendiri.
Janganlah kerana terdesak membantu Mahiaddin dan Bersatu yang seumpama “katak kelemasan” maka saudara seIslam lain sanggup difitnah dan dikatakan dengan macam-macam gelaran seumpama perangai DAP dan Pakatan Harapan yang suka melabel pihak lain.
Eleganlah sedikit Hadi dalam berpolitik, janganlah asyik meniru DAP melabel dan menuduh orang lain dengan pelbagai gelaran termasuk binatang. PAS kononnya amat bencikan DAP tetapi tidak malu menggunakan cara tidak bermaruah mereka.
Wahai Haji Hadi, berakhlak mulia dan bersikap adillah kepada semua bukan kerana anda Presiden PAS, tetapi semata-mata kerana ini merupakan perintah Allah. Hargailah sedikit nama parti anda yang ada ‘Islam’ di dalamnya dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik terutamanya kepada golongan muda PAS yang menjadikan anda sebagai idola mereka.
Jika tidak, generasi PAS seterusnya dikhuatiri akan dibarisi oleh mereka yang tidak berakhlak mulia, asyik suka menuduh semberono, melabel atau memberi pelbagai gelaran tidak sepatutnya kepada individu dan pihak lain yang tidak selari dengan fikrah politik mereka.
Muhasabahlah Haji Hadi dan PAS, kalah menang ini semuanya sudah ditetapkan Allah Taala. Janganlah kerana taksub politik kepartian dan sikap memihak anda membuatkan ahli politik menempah tiket ke neraka dengan memburuk-burukkan saudara seIslam yang lain. Wallahualam.