Tidak kira sama ada rakyat biasa, kaya atau miskin, pemimpin, ketua mana-mana kumpulan atau parti, hatta seorang Raja sekalipun tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan untuk keluar daripada Malaysia walau seteruk mana sekalipun kerajaan yang memerintahnya.
Jika bertujuan untuk melemparkan kritikan, teguran ataupun mungkin kerana terlalu marah, tiada sesiapapun patut berkata mahu keluar daripada negara tanah tumpah darahnya, kerana ia bukan sahaja menunjukkan ketidakmatangan dalam bernegara malah sikap itu amat kebudak-budakkan.
Jika seorang yang terhormat dalam kalangan bangsawan atau Raja-raja, maka ia bukan sahaja contoh yang buruk malah dikhuatiri sikap anti-nasional atau anti negara sendiri akan memuncak, menerbitkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat jelata sendiri. Orang kenamaan apatah lagi jika Raja-raja, mereka sepatutnya menjadi contoh dan menunjukkan teladan yang baik, bukannya menjadi ‘batu api’ dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal seperti itu.
Walau dicari alasan paling logik sekalipun untuk tujuan keluar daripada negara sendiri, tidak mungkin akan ada jawapannya melainkan mereka sendiri sememangnya tidak cintakan negara sejak dahulu. Jika kerana sudah terlalu lama memendam rasa marah sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya, tetap tidak merasionalkan kenyataan untuk keluar daripada negara ini.
Jika golongan terhormat sendiri tidak lagi mampu menunjukkan contoh dan teladan yang baik maka kelak jangan dimarahi rakyat yang semakin hilang hormat kepada institusi tersebut. Anda semualah yang bertanggungjawab mencurahkan minyak ke dalam api ketika segelintir rakyat lain bermati-matian cuba memadamkannya.
Justeru matikanlah keangkuhan dengan kebijaksanaan kerana manusia ini semuanya sama yang berbeza hanya iman dan amalnya.