KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

98
SHARES
316
VIEWS

1. Tuan Mohd Fauzi bin Zulkifli, selaku Ketua Bahagian PUTRA Teluk Intan dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan PUTRA Negeri Perak berkuatkuasa hari ini 10 Ogos 2022 bagi menggantikan Dato’ Hamidah Osman yang mengambil keputusan keluar PUTRA kerana tidak bersetuju menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai oleh YB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

2. Turut keluar bersama Dato’ Hamidah Osman ialah Tuan Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Alias, Ketua PUTRA Bahagian Larut dan sebahagian ahli PUTRA yang lain. Mereka yang keluar memberi berbagai alasan yang agak lucu dan tidak memeranjatkan, ia ibarat sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. PUTRA tidak terkejut malah sudah menjangkakannya.

3. Keputusan PUTRA menyertai GTA dibuat atas persetujuan ADT PUTRA secara sebulat suara yang bermesyuarat pada 30 Julai 2022, yang turut dihadiri oleh Dato’ Hamidah Osman. Namun, Dato’ Hamidah Osman tidak bersuara manakala semua ADT yang hadir bersuara dengan jelas dan lantang menyokong PUTRA menyertai GTA. ADT PUTRA yang memahami prinsip dan kaedah demokrasi serta menghayati semangat berjemaah kekal dengan perjuangan PUTRA selaras dengan ikrar sumpah setia sebagai ADT PUTRA. Mungkin ada lagi segelintir yang tidak berpuas hati akan mengambil langkah yang sama.

4. Saya sebenarnya menghormati dan menyambut baik tindakan mereka ini serta amat berlapang dada. Saya menyifatkan PUTRA kini akan lebih utuh dan kukuh kerana tidak lagi menghadapi masalah untuk menggerakkan PUTRA di Perak dengan lebih aktif dan agresif.

5. Dato’ Hamidah Osman memang diketahui umum adalah penyokong tegar Datuk Seri Mohd Najib Razak dan merayu agar UMNO dapat menerimanya kembalinya sebagai ahlinya kerana ia dapat membantu UMNO dengan kegigihan Dato’ Hamidah Osman dan penyokong-penyokong tegarnya.

6. PUTRA bukanlah sebuah parti yang boleh dijadikan transit oleh mana-mana pihak. Sebelum ada tempat berteduh maka PUTRA dijadikan dahan bergantung buat sementara. Pasti selepas ini tidak ada lagi yang masuk keluar kerana mereka yang akan kekal adalah yang cekal.

7. PUTRA diasaskan oleh insan-insan yang insaf dan semangat pengorbanan yang tinggi. Teguh berjemaah dan tegas berprinsip. Hanya yang cekal sahaja yang mampu mengharungi dugaan, ranjau, onak dan duri serta boleh melakar perjuangan demi “Alif Ba Ta”. PUTRA bukan tempat mencari makan serta mendapatkan pangkat. Kepimpinan berasaskan musyawarah dan jika gagal kata sepakat, suara majoriti menjadi keputusan. Bila suara majoriti bermakna ia keputusan yang wajib dihormati dan dipatuhi oleh semua kepimpinan dan ahli-ahli parti.

8. Saya mendoakan selamat maju jaya kepada yang telah keluar PUTRA dan carilah parti yang sesuai dengan cita rasa masing-masing. PUTRA tetap utuh melangkah ke hadapan sebagai parti dan akan menggalas kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu Islam yang digagalkan oleh parti-parti lama kerana pangkat, harta dan rasuah.

PUTRA PERKASA NEGARA 

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

10 Ogos 2022

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts