NAJIB DAN KEADILAN YANG TERLIHAT

123
SHARES
397
VIEWS

Walaupun proses rayuan terakhir Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak masih belum berakhir namun dilihat ia amat sukar dan bakal berdepan dengan senario terburuk yang sudahpun dijangkakan. Beliau dan barisan peguamnya hanya memohon untuk memasukkan bukti baharu yang amat penting kepada pembelaannya namun ia ditolak oleh barisan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Tun Tengku Maimun. Hujahan 20 helai juga disediakan hanya semalaman, yang turut dipertikaikan banyak pihak.

Sepatutnya pasukan pembelaan diberikan ruang penuh untuk membela dirinya, bukan sahaja menampilkan bukti baharu malah perlu “fair level playing field” sepenuhnya, selagi ia tidak membelakangkan undang-undang. Malah ini bukan kali pertama, sebelum ini sudah banyak kali permohonan mereka ditolak termasuk mahu menggunakan khidmat Queen’s Counsel dan lanjutan masa bagi pertukaran pasukan pembelaan.

Itu belum jika dikira bukti penting kaitan antara Hakim Nazlan dan SRC yang diwakilinya yang cukup untuk mewujudkan keraguan munasabah tetapi ia juga tidak mahu diterima mahkamah, sedangkan apalah salahnya terima dan kemudian barulah hujah kedua-dua pihak dihakimi, demi memberi ruang untuk keadilan digunakan sepenuhnya. Jika hakim sebelumnya boleh ditukar hanya kerana abang beliau seorang ahli UMNO, maka bukankah penglibatan Nazlan dalam Maybank yang mencadangkan SRC jauh lebih menimbulkan keraguan dan kecurigaan?

Mungkin pihak yang suka dengan perkembangan mutakhir ini akan ‘melolong’ dan ‘menyalak’ apabila diri sendiri dan keluarga mereka ditimpa musibah yang sama dan mahkamah menidakkan banyak permohonan mereka untuk membela diri sepenuhnya. Masa itu barulah sedar dan insaf apa yang kena ke atas bekas Perdana Menteri keenam ini namun berdoa banyak agar anda dan keluarga anda tidak menerimanya. Apatah lagi jika berlaku terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, tentunya ketika itu semua mereka akan sedar peri pentingnya perbicaraan yang adil dan pasukan pembelaan perlu diberikan ruang dan peluang sepenuhnya.

Apa yang mahu disegerakan sangat? Bukankah akan terlihat janggal apabila kes liwat kedua Anwar Ibrahim boleh pula memakan masa lebih kurang enam tahun setengah selepas pelbagai permohonan dan penangguhan diberikan? Adakah ketika itu Pakatan Harapan dan pihak yang mahu sangat melihat Najib dipenjarakan melihatnya sebagai membuang masa atas alasan pelbagai penangguhan dan permohonan? Tentunya tidak kerana pembelaan perlu diberi ruang dan peluang selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Jika tidak, penegakkan hukum dan undang-undang itu sendiri yang diharapkan adil tidak akan terlihat sebagai adil. Bukan hanya kepada si empunya diri tetapi juga di mata rakyat.

Selain itu, tindakan pemimpin-pemimpin UMNO yang kini menjadi cemuhan rakyat dan netizen kerana dilihat tidak membela bekas Presiden sendiri termasuk lebih ramai yang hanya mendiamkan diri, dilihat ada asasnya. Jangan sampai rakyat yang simpati membalas anda semua di kerusi masing-masing kelak. Jangan pandang rendah dan remeh dengan ketidakpuasan hati rakyat, cukuplah dengan kekalahan di PRU-14 lepas menjadi pengajaran.

Kesimpulannya, sebagai nasihat untuk semua, lebih baik kita tersalah bersangka baik menyangka seseorang itu tidak bersalah, daripada berdosa tersalah fitnah dan menuduh seseorang itu bersalah namun hakikatnya tidak. Lebih teruk, hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas seseorang yang tidak bersalah.

Perlu diingat, Najib telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi di depan Hakim Nazlan sendiri bahawa beliau langsung tidak tahu-menahu mengenai wang SRC tersebut, apatah lagi merancang, meminta, mengarahkan atau ditawarkan sebarang habuan kepadanya. Sebagai seorang Islam, kita wajib berlapang dada apabila sumpah dilafaz walaupun di sisi undang-undang ia tidak diiktiraf.

Ini kerana apabila bersumpah laknat, perkara ini sudah menjadi antara beliau dan Allah SWT. Malah tiada satupun pemimpin Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional sebelum ini yang disabitkan dengan banyak isu liwat, semburit bervideo serta ada yang didakwa mempunyai hubungan dengan isteri orang, adakah mereka berani bersumpah seperti Najib sedangkan ketiga-tiga mereka beragama Islam?

Pesanan terakhir buat mereka yang ‘pasti’ kononnya Najib bersalah, tidak kira di pihak manapun anda berada sama ada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional hatta di dalam UMNO sendiri, ada satu soalan khas buat anda iaitu;

“Adakah anda sendiri berani bersumpah WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI bahawa Najib benar-benar bersalah?”

Jika tidak berani, maka adalah jauh lebih baik anda bersangka baik bahawa beliau tidak bersalah, daripada terlibat dengan dosa memfitnah dan menuduh beliau bersalah – tanpa mengira apapun keputusan mahkamah kelak. 

Semoga kisah Nabi Yusuf AS dapat dijadikan iktibar dan panduan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts