Kenyataan terkini oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin mengenai penahanan dan dakwaan ke atasnya dalam isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan Jana Wibawa dilihat hanya ‘memakan’ dirinya sendiri.
Beliau secara tidak langsung telah ‘mengaku’ menerima rasuah daripada beberapa kontraktor yang memberi sumbangan kepada partinya namun beliau katakan ia sebagai tidak salah kerana ia sumbangan politik. Namun Mahiaddin mungkin lupa kontraktor-kontraktor yang sama itu memperoleh projek kerajaan bernilai ratusan juta ringgit semasa darurat. Maka terjemahannya sebagai “tidak salah” itu sebenarnya mungkin bercanggah dengan takrifan sebenar penerima dan pemberi rasuah.
Malah bukankah itu juga menjadi pengakuan terang-terangan bahawa beliau dan partinya telah menerima rasuah yang dengan mudah boleh disabitkan kesalahan? Apapun alasan Mahiaddin dan Perikatan Nasional kali ini tidak mengubah perkara yang salah tetap dikira sebagai salah walau apapun cara diguna untuk mengubahnya. Rasuah juga tidak boleh menjadi ‘derma’ walaupun sekutunya Haji Hadi dan PAS meminta takrif rasuah dikaji semula.
Jika tidak terkena batang hidung sendiri mungkin Haji Hadi tidak membuat permintaan mengarut ini namun apabila sekutu sendiri sudah terjerat, tahu pula memberi alasan dan dalil, walaupun ia bertentangan dengan undang-undang.
Apapun, semoga Mahiaddin tidak ‘meroyan’ keterlaluan apabila digelar Kluster Mahkamah. Cuma selepas ini kita tunggu pula pencerahan isu Perikatan Nasional menerima dana judi yang dibangkitkan Perdana Menteri sebelum ini. Tentu menarik kronologinya untuk diikuti.