1. Hanya dua senario mengapa bekas Ketua Menteri Melaka Sulaiman terpaksa melepaskan jawatan beliau. Pertama, beliau kurang bijak dalam langkah politiknya di Melaka. Kedua, beliau disalah nasihat serta tidak mempunyai jati diri sebagai pemimpin politik.
2. Umum mengetahui, konon Sulaiman adalah ‘boneka’ dalam dalam kerajaan Barisan Nasional di Melaka sejak 2020. Telahan ini mungkin benar di peringkat awal sejurus UMNO-BN mengambil alih kerajaan negeri Melaka pada awal Mac 2020 namun ia tidak lagi benar selepas itu.
3. Ketika tahun 2020 dan 2021, Sulaiman berhadapan cabaran getir berhadapan krisis dalaman. Beliau terpaksa berhadapan dengan Idris Haron yang dilantik sebagai Exco Melaka ketika itu. Dari segi kredibiliti, Idris jauh melangkaui Sulaiman. Penampilan Idris menenggelamkan Sulaiman terutama ketika berdebat di sidang DUN.
4. Sulaiman tidak mampu menangani Idris. Rauf ketika itu tidak menjadi ADUN (hanya Speaker DUN) namun selaku Ketua UMNO Melaka beliau terpaksa campur tangan. Rauf mempertahankan Sulaiman yang semakin terhakis kredibilitinya di kalangan kepimpinan politik di Melaka.
5. Tidak menjadi rahsia lagi betapa Idris giat menyusun strategi bagi merampas jawatan Ketua Menteri dari Sulaiman ketika Idris sering lewat hadir ke mesyuarat Exco dan tidak hadir mengiringi Sulaiman ke program-program rasmi kerajaan.
6. Yang menjadi halangan Idris ketika itu hanyalah Rauf sebagai Ketua UMNO Melaka. Maka, Idris menukar strategi lalu berpakat dengan Pakatan Harapan dan pengkhianatan bekas ADUN PH bagi merampas kerajaan negeri Melaka dari BN. Namun Rauf selaku Ketua UMNO Melaka berjaya mematahkannyq dengan cadangan membubarkan DUN.
7. Sulaiman, walaupun sebagai Ketua Menteri ketika itu, tidak melawan langsung atau mempertahankan UMNO-BN. Sulaiman seolah-olah buntu dengan keadaan beliau ‘diserang hendap’ oleh Idris dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Beliau hanya pasrah dan ikut arus sahaja ketika itu.
8. Sulaiman menjadi ‘poster boy‘ PRN Melaka 2021 dan cuba mengekalkan 80 peratus wakil rakyat yang lama. Namun Rauf sebagai Ketua UMNO-BN Melaka menampilkan 85 peratus muka baharu sebagai calon BN. Hasilnya, BN menang 21 dari 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
9. Setelah menang, Sulaiman mengangkat sumpah jawatan seawal jam 1 pagi yang penuh kontroversi. Seolah dihamparkan permaidani merah, Sulaiman mula menyusun langkah bagi mengenepikan saingan terdekatnya iaitu Rauf, Ketua UMNO Melaka.
10. Selepas menjadi Ketua Menteri di penggal baharu, Sulaiman umpama gunting dalam lipatan terhadap Rauf. Sikapnya yang penuh hipokrasi memang memualkan. Sulaiman mula melobi untuk menjadi Ketua UMNO Negeri pula. Beliau dan pelobi bagi dirinya beberapa kali berjumpa Presiden UMNO bagi tujuan tersebut.
11. Sulaiman hilang semangat setiakawan terhadap Rauf yang memainkan peranan besar hingga menjadi Ketua Menteri dengan izin Allah. Setelah hasratnya ditolak Zahid, Sulaiman mendekati Muhyiddin dan Ismail Sabri yang diketahui tidak sealiran dengan Zahid.
12. Selanjutnya, Sulaiman bersama beberapa orang Ketua UMNO Bahagian di Melaka cuba menguasai bahagian-bahagian UMNO di Melaka atas alasan mempertahankan jawatan. Ada antara mereka itu kalah semasa PRN dan ada yang pernah disabitkan kesalahan.
13. Manakala Rauf pula dengan ideanya yang memandang ke hadapan, berusaha menampilkan muka-muka baharu yang muda sebagai calon Ketua Bahagian di Melaka. Sangat jelas ini adalah petanda kemuncaknya pertelagahan “ribut dalam cawan” antara Sulaiman dan Rauf.
14. Hasilnya, pasukan Rauf menguasai hampir keseluruhan struktur organisasi UMNO Bahagian di Melaka. Kumpulan Sulaiman yang kalah pula cuba menggunakan ibu pejabat UMNO bagi mengadakan pemilihan semula namun kelicikan mereka dihidu dan dinafikan oleh Presiden UMNO sendiri. Sulaiman yang konon suci, dilihat berdiam diri dalam isu ini.
15. Hasil keputusan Pemilihan UMNO Bahagian pada 18 Mac 2023 yang lalu, kepimpinan UMNO bahagian-bahagian di Melaka jelas telah menolak Sulaiman. Sulaiman tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan jawatan kerana pasukannya telah gagal.
16. Di awal artikel, saya mengatakan Sulaiman kurang bijak dalam politiknya dan inilah puncanya. Sepatutnya Sulaiman perlu lebih bijak mengukur baju di badan sendiri. Melawan Rauf yang berpengalaman luas dalam politik bukanlah tindakan yang bijak!
Sulaiman juga tiada kualiti sebagai pemimpin. Beliau tidak boleh membuat keputusan adalah kerana sifat kepimpinannya yang lemah Dan sering bergantung kepada pegawai atau orang lain yang berkepentingan.
17. Beliau sering mendengar cakap orang dan tidak mampu mengeluarkan idea sendiri mahupun mempertahankannya. Itulah antara kelemahan utama beliau. Dek kerana sering mendengar cakap orang lain juga membuatkannya tidak mampu menjadi pemacu atau pemimpin yang mengetuai pasukan.
18. Tidak dinafikan, Sulaiman dilihat seorang yang merendah diri dan mesra rakyat. Sama ada ia benar atau lakonan, Allah sahaja yang mengetahui. Namun untuk mengetuai sesebuah negeri, kita perlukan kualiti kepimpinan yang tegas, berkredibiliti serta kreatif bagi memimpin negeri.
19. Oleh itu, tidak perlulah Sulaiman menampakkan dirinya seperti ‘mangsa keadaan’ dalam isu ini. Peluang yang diberikan selama 3 tahun menjadi Ketua Menteri Melaka gagal dimanfaatkan oleh beliau. Contoh ketara ialah projek Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ) masih tidak mendapat kelulusan pusat selama 3 tahun ini.
20. Apa yang berlaku telahpun berlaku. Pemimpin boleh datang dan pergi, namun parti atau negeri perlu terus bergerak ke hadapan demi rakyat. Tidak kira siapa yang menjadi Ketua Menteri, rakyat Melaka perlu menikmati hasil “Kestabilan demi Kemakmuran” yang telah dizahirkan semasa PRN yang lalu.
Paku Warren
Pantai Kelebang, Melaka