PENJELASAN JPN MENGENAI 2 INDIVIDU MILIKI NOMBOR KAD PENGENALAN SAMA

391
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA JABATAN PENDAFTARAN NEGARA

Jabatan Pendaftaran Negara ingin merujuk isu yang sedang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial ketika ini mengenai dakwaan terdapat dua individu memiliki nombor kad pengenalan yang sama.

Isu yang ditularkan kembali ini merupakan kes pada sekitar tahun 2020 dan JPN juga ketika itu telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkara ini.

JPN ingin menjelaskan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan dan pemilik MyKad tersebut masih lagi memegang nombor kad pengenalannya itu dan masih berdaftar sebagai pemilih. Siasatan ketika itu mendapati kekeliruan yang berlaku disebabkan terdapat kesilapan semasa proses mendaftarkan nombor telefon dengan pihak Telco berkenaan.

Kedua-dua individu tersebut memiliki nombor Kad Pengenalan yang berbeza di dalam sistem JPN. Warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan dua belas digit yang unik di mana nombor tersebut dijana oleh sistem menggunakan formula tertentu.

JPN tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu yang berbeza. JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat. Tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sebarang pertanyaan dan kekeliruan berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai adalah dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-8880 7077 atau e-mel ke pro@jpn.gov.my.

JABATAN PENDAFTARAN NEGARA

20 JUN 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts