لِكُلِّ اُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللّٰهِ عَلٰى مَا رَزَقَهُمْ مِّنْۢ بَهِيْمَةِ الْاَنْعَامِۗ فَاِلٰهُكُمْ اِلٰهٌ وَّاحِدٌ فَلَهٗٓ اَسْلِمُوْاۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِيْنَ ۙ
“Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikaruniakan Allah kepada mereka berupa hewan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserahdirilah kamu kepada-Nya. Dan sampaikanlah (Muhammad) kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)” AlHajj – 34
Bersempena tibanya Hari Raya Aidiladha ini, marilah bersama kita hayati dan mengambil ibrah dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS kepada Allah SWT. Kisah ini menjadi satu manifestasi ketaqwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri dan ibu di dalam mentaati perintah Allah SWT.
Semestinya hari ini kita raikan dengan bermuhasabah sejauh manakah kesediaan dan semangat kita untuk berkorban demi kebaikan ummah merupakan nilai yang teramat berharga di dalam membangunkan masyarakat Madani.
Refleksikan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS ini untuk umat Islam di Malaysia jadikan sebagai inspirasi mendekatkan diri dengan Allah SWT, meningkatkan kualiti kehidupan peribadi seorang Muslim dan membina masyarakat yang lebih mampan ketaqwaannya di dalam berhadapan sebarang cabaran.
Pada masa yang sama didiklah hati untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, mengamalkan sikap dermawan dan kesederhanaan di dalam membentuk keprihatinan sesama kita agar lahirnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Ikhlaskanlah hati memaknai erti pengorbanan, perkuatkan ukhwah dan jalinan persaudaraan serta semarakkan rasa kekitaan. Semoga AidilAdha yang diraikan ini membawa kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan kepada kita semua.
Di kesempatan ini, saya, Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi