KERAJAAN LAKSANA BITARA MADANI, KOMITED TINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM

338
SHARES
2k
VIEWS

Kerajaan komited bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Sehubungan itu, Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) telah bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) melaksana dan memperluaskan Projek Bitara MADANI dengan segera termasuk memberi fokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

MTMM telah memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara MADANI iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai MADANI.

Di bawah projek menaik taraf fasiliti, Kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023.

Manakala bagi memperluas pelaksanaan Gerai MADANI, kaedah penambahbaikan yang digunapakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah PBT terpilih.

Tindakan penambahbaikan akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat.

Projek-projek Bitara MADANI sentiasa mendukung rukun Malaysia MADANI dan menggunakan pendekatan “The Whole of Government” di mana ketua projek adalah terdiri daripada kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau Jabatan yang berbeza dengan kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.

Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek-projek Bitara MADANI dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara MADANI selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts