Saya antara orang atau mungkin satu-satunya yang terus mengkritik dan mempertikaikan motif atau tujuan gerakan Proklamasi Melayu yang diwujudkan dan dipromosikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Di hadapan khalayak awam Proklamasi Melayu dibentangkan seolah-olah untuk menyatukan orang Melayu-Islam dan untuk membela nasib orang Melayu-Islam yang kononnya terancam di negara sendiri. Sesuatu yang dianggap tulus dan murni serta tepat pada waktunya oleh golongan tertentu.
Lalu kenapa saya terus mempertikaikan motif dan terus mengkritik gerakan Proklamasi Melayu tersebut? Adakah saya tidak sayangkan agama dan bangsa saya sendiri? Adakah saya tidak mahu melihat agama dan bangsa saya dibela nasibnya di negara sendiri?
Ini bukan soal saya tidak sayangkan agama dan bangsa saya. Ini soal saya masih gagal untuk memahami ketulusan dan logik di sebalik penubuhan gerakan tersebut.
Apabila saya melakukan sedikit analisa saya melihat ada kecacatan logik di sebalik penubuhan gerakan tersebut. Jadi secara nalurinya saya merasakan apa salahnya saya menguji idea di sebalik penubuhan gerakan tersebut dan saya kongsikan analisa itu bersama para pembaca nota-nota saya.
Bukankah itu sesuatu yang seharusnya kita lakukan apabila melihat ada idea atau satu gerakan massa muncul di negara ini? Apatah lagi jika gerakan itu muncul daripada inisiatif Tun Mahathir. Seorang ahli politik yang dikenali cukup licik dan sanggup melakukan apa sahaja demi survival politik dan empayar peribadinya.
Secara abstraknya saya menangkap tujuan sebenar Proklamasi Melayu yang ditubuhkan bukanlah untuk menyatukan orang Melayu-Islam dan membela nasib Melayu bahkan sebenarnya adalah untuk menentang dan mensabotaj Kerajaan Perpaduan.
Logik pertama saya bersandarkan kepada hubungan antara Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu sendiri. Kalau di Malaysia ini siapa yang tidak tahu sikap dan perasaan Tun Mahathir terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim?
Siapa yang tidak tahu mengenai perseteruan panjang antara mereka berdua? Siapa yang tidak tahu dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan bagaimana beliau dan konco-konconya berusaha untuk menyekat Dato’ Seri Anwar dari menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tun Mahathir.
Itu logik pertama saya manakala pada logik yang kedua pula saya melihat sesuatu yang lebih dalam lagi iaitu;
Setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, beliau telah mencadangkan penubuhan sebuah Kerajaan Perpaduan namun cadangan tersebut tidak mendapat perkenan dari Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu.
Maka wajar sahaja kalau Tun Mahathir kecewa dan sakit hati apabila pasca PRU-15 Istana Negara telah menitahkan penubuhan Kerajaan Perpaduan dan melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menerajuinya dan ia telah diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu.
Atas dasar itu saya melihat penentangan terhadap Kerajaan Perpaduan pada hakikatnya adalah penentangan terhadap Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu. Bukan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Malah kalau kita telusuri sejarah politik Tun Mahathir yang panjang maka kita akan menemui bukti bahawa beliau adalah seorang yang anti kepada Raja-raja Melayu. Ini dapat kita ketahui melalui ucapan dan tindakannya di sepanjang kerjaya politiknya yang panjang itu.
Di sini timbul pertanyaan kenapa setelah Tun Mahathir tidak ada jawatan baru beliau terfikir untuk membela nasib orang Melayu-Islam. Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan?Bukankah ini tidak masuk akal?
Maka di sini saya melihat ada kecacatan logik pada motif penubuhan gerakan tersebut. Kalau benar ingin membela nasib orang Melayu-Islam, kenapa medan juangnya masih dalam politik? Bukankah perjuangan politik orang Melayu-Islam sudah lama selesai?
Bukankah agama, bangsa, raja, bahasa, adat budaya dan hak-hak orang Melayu-Islam telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Kenapa Tun Mahathir tidak memilih mahkamah sebagai medan juang untuk membela nasib orang Melayu-Islam? Kenapa mesti politik? Bukankah sudah terbukti bahawa selama ini hak-hak istimewa Melayu itu dinafikan kerana kepentingan politik?
Yang lebih menarik untuk dianalisa pada kali ini adalah kepentingan politik Tun Mahathir pada kali ini.
Apa matlamat politik peribadi yang ingin dicapai oleh beliau pada kali ini? Adakah Proklamasi Melayu adalah merupakan instrumen yang akan digunakan oleh Tun Mahathir untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik?
Ramai yang tahu bahawa beliau mempunyai cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik dan anaknya sebagai Presiden yang pertama.
Apapun ini sekadar jangkaan saya sahaja yang cuba meraba-raba motif di sebalik gerakan politik terbaru Tun Mahathir yang terkenal dengan kelicikkannya dalam berpolitik.
Logik sederhana saya menyimpulkan bahawa gerakan Proklamasi Melayu bukanlah untuk membela nasib orang Melayu-Islam melainkan adalah untuk memenuhi agenda peribadinya yang masih tersembunyi.
Namun apabila beliau muncul dipentas politik PAS telah memberikan indikasi bahawa Tun Mahathir sedang melaksanakan agenda politik peribadinya.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas