MADANI ATAU GELOMBANG HIJAU? DR. RAMALAN YUNUS 

400
SHARES
2.4k
VIEWS

Hari ini adalah hari terakhir untuk berkempen dalam PRN enam negeri kali ini. Esok bakal diketahui apakah pesanan politik yang ingin disampaikan oleh rakyat di enam negeri kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga kepada dunia. Khususnya kepada para pelabur di luar negara.

Adakah mereka mahukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi atau mereka mahu memilih untuk bersama-sama dengan golongan yang terus berusaha mensabotaj usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani?

Pesanan politik ini penting demi membina keyakinan para pelabur terhadap negara ini dalam usaha pihak kerajaan untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi. Mana mungkin para pelabur ingin melabur di negara yang mempunyai konflik politik berpanjangan.

Pesanan atau isyarat politik itu juga akan memberikan gambaran sama ada rakyat memilih politik rasional yang berasaskan kepada fakta dan argumentasi atau politik yang semata-mata berasaskan kepada sentimen. Khususnya yang merujuk kepada 3R iaitu Religion, Race and Royal.

Biarpun di peringkat awal gelombang hijau kelihatan begitu menggerunkan namun apabila panglima perang mereka tersungkur di tengah jalan akibat isu penghinaan terhadap Sultan Selangor, kini keadaan seolah-olah sudah berpihak sepenuhnya kepada Kerajaan Madani.

Angin perubahan dilihat begitu ketara di negeri Terengganu dan Kelantan. Malah Negeri Kedah juga dilihat berupaya untuk beralih sokongan kepada Kerajaan Madani. Perubahan ini menunjukkan bahawa para pengundi sudah mulai bosan dan letih dengan permainan persepsi dan sentimen dari pihak pembangkang.

Biarpun di peringkat awal ramai pemerhati politik meramalkan kedudukan tetap tidak berubah iaitu kekal 3-3 namun kini pihak Madani dilihat berpotensi dan berupaya menang sehingga 5-1 atau 6-0. Segalanya kini banyak bergantung kepada mood para pengundi baru dan para pengundi muda.

Menurut pengamatan saya, mood pengundi baru dan muda banyak dipengaruhi oleh faktor ekonomi khususnya peluang pekerjaan. Realiti ekonomi semasa pula sudah pasti akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Madani.

– KDNK suku pertama sebanyak 5.8 peratus antara tertinggi di rantau Asia, mengalahkan Indonesia dan China

– Inflasi dan harga barang turun ke 2.4 peratus pada bulan Jun. Antara terbaik dalam masa setahun

– Kadar pengangguran turun pada suku pertama kerana peluang pekerjaan sudah merata

– Indeks Kompetitif Ekonomi Malaysia naik 5 anak tangga pada tahun 2023. Menjadi tempat ke-27 di seluruh dunia

Indikator-indikator ini menunjukkan bahawa ekonomi kita sudah berada di landasan yang baik dan diramalkan akan terus meningkat naik dan bertambah baik dari masa ke semasa.

Begitu juga dengan komitmen yang telah dibuat oleh pelabur besar seperti Elon Musk dan Syarikat Zhejiang Geely Holding dari China kepada Kerajaan Madani dilihat akan berupaya mempengaruhi mood para pengundi baru dan muda untuk memberi sokongan kepada Kerajaan Madani.

Dari segi politik pula, komitmen yang diberikan oleh pimpinan dari Sabah dan Sarawak untuk terus bersama dengan Kerajaan Madani telah membatalkan propaganda dari pihak pembangkang bahawa Kerajaan Madani akan tumbang selepas PRN nanti.

Perkembangan terbaru ini telah memberikan kemungkinan bahawa Kerajaan Madani mampu melakukan kejutan yang besar pada PRN kali ini.

Kesimpulan saya apapun keputusan PRN kali ini sama ada kekal 3-3 atau Kerajaan Madani menang 4-2, 5-1 atau 6-0, Kerajaan Madani akan bertambah kukuh manakala Perikatan Nasional pula besar kemungkinan akan berpecah. Keretakkan yang ketara dalam PN sudah agak jelas kelihatan.

Saya yakin akan ada lagi beberapa kes pendakwaan salah laku terhadap pimpinan PN yang akan menyumbang kepada perpecahan mereka nanti.

Sebagai pengamat politik dan ekonomi saya mengharapkan agar para pengundi lebih matang dalam menganalisa dan mengevaluasi suasana serta menggunakan akal sihat untuk membuat keputusan pada PRN kali ini.

Pesanan atau isyarat politik dari PRN pada kali ini penting dalam usaha kita untuk mewujudkan kestabilan politik dan memulihkan kembali keadaan ekonomi negara.

Mengundilah untuk kestabilan dan kemakmuran diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts