Saya tertarik untuk menjawab persoalan yang dilontarkan oleh Datuk Mohd Nazifuddin Najib, Ketua UMNO Bahagian Langkawi dan juga anak kepada Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Beliau mempersoalkan mengapa UMNO tidak boleh mendapatkan keadilan untuk bapanya. Ini kerana menurut beliau, UMNO ketika ini adalah sebahagian daripada kerajaan dan jaguh orang Melayu.
Perkataan beliau itu ada benarnya. Namun bagi pandangan saya, saya kira UMNO sudah berusaha agar Dato’ Seri Najib mendapat perbicaraan yang adil. Kini ia menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan Perpaduan untuk memberikan perbicaraan yang adil kepada Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Sebagai rakyat Malaysia, beliau berhak untuk mendapat perbicaraan yang adil atas nama hak asasi manusia dan prinsip Kedaulatan Undang-undang. Dato’ Seri Najib sendiri tidak meminta beliau dibebaskan. Apa yang beliau pinta ialah sebuah perbicaraan yang adil bagi dirinya.
Banyak perkara yang meragukan dan menjadi persoalan masyarakat dalam proses perbicaraan Dato’ Seri Najib. Bayangkan kalau seorang mantan Perdana Menteri boleh dinafikan haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil, bagaimana mana pula kalau rakyat biasa?
Lalu keadilan seperti apa yang ingin kita tegakkan dan untuk siapa keadilan itu? Ada beban moral di situ. Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa keadilan itu dapat dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia.
Di benak masyarakat pada masa ini khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokong Dato’ Seri Najib merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada sistem keadilan kita. Mereka merasakan seperti ada konspirasi politik yang menyelubungi kes Dato’ Seri Najib.
Mereka juga merasakan ada tangan-tangan ghaib yang telah memanipulasi institusi kehakiman untuk menzalimi Dato’ Seri Najib dan seterusnya membunuh kerjaya politik beliau. Ini yang harus ‘dibatalkan’ dari pemikiran masyarakat dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Perpaduan untuk membatalkan pemikiran dan persepsi tersebut.
Persepsi buruk terhadap sistem keadilan dan institusi kehakiman tidak wajar dibiarkan berlanjutan. Ini tidak baik untuk imej negara di peringkat antarabangsa.
Siapa yang mahu melabur di dalam negara di mana sistem keadilannya boleh dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu? Bukankah isu ini juga turut melibatkan kepentingan dan kemakmuran ekonomi negara?
Kita sudah terkenal di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang amalan rasuahnya cukup tinggi. Jadi untuk apa kita berjuang melawan rasuah kalau sistem keadilan kita sendiri begitu jelek sekali dan tidak dipercayai oleh rakyat sendiri?
Sudah pasti rakyat akan menganggap bahawa perjuangan untuk melawan rasuah itu hanya sekadar retorik politik sahaja.
Saya kira sudah sampai masanya penumpuan yang khusus harus diberikan oleh Kerajaan Perpaduan untuk melakukan reformasi institusi. Jelas, keutamaan itu harus diberikan kepada institusi kehakiman terlebih dahulu.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas