MADANI: PELAN PEMBINAAN TAMADUN MALAYSIA

346
SHARES
2k
VIEWS

1. Ramai orang mempersoalkan apa itu Madani? Kenapa Madani? Apa istimewanya Madani berbanding dasar-dasar yang berbunyi Arab dan Islam sebelum ini? Adakah ia hanya sebagai satu slogan Kerajaan Perpaduan agar kelihatan Islamik atau memiliki wajah agama?

2. Bahkan ada tokoh pembangkang yang tabiatnya membangkang apa sahaja mengatakan Madani ada kesesatan di dalamnya kerana ia disokong oleh orang bukan Islam di dalam dan luar negara yang memusuhi Islam!

3. Menurut kepercayaan tokoh tersebut, partinya mempunyai acuan Islam yang paling sempurna kerana berpegang kepada hukum yang tertinggi sekali iaitu KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIAS yang terang dan nyata. Justeru tiada parti atau pihak lain lagi yang lebih Islam daripada satu-satunya parti yang berjenama Islam di Malaysia itu.

4. Membangun Negara Madani – Satu Visi dan Kerangka Dasar Reformasi adalah tajuk buku yang diluncurkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 (PMX) pada 3 November 2022 sebagai satu pelan pembinaan semula negara yang telah terjejas teruk lantaran amalan korupsi yang sistemik dan pukulan wabak Covid-19.

5. Madani merupakan pelan pembangunan negara yang dibina daripada cantuman idea yang berteraskan sumber aqli dan naqli.

6. Ibarat kita ingin membina sebuah rumah yang hampir roboh, kita memerlukan kerangka atau pelan tapak dan bangunan yang baru. Lagi besar rumah yang ingin dibina, lagi terperinci pelan yang diperlukan. Sesebuah bangunan tidak boleh dibina jika tiada pelan yang diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa.

7. Walaupun kewajipan menyediakan pelan Madani itu tidak dinaskan dalam Kitabullah, sunnah Rasul, tiada ijma’ ulama mengenainya dan tidak nampak operasi qias yang terang dan nyata, namun akal dan fikiran manusia bertamadun semuanya bersetuju untuk menerima hakikat setiap bangunan yang hendak dibina atau dibina semula mesti mempunyai pelan yang diluluskan demi keselamatan penghuni dan kelestarian masa depan.

8. Madani dengan dasar rukun yang digariskan boleh diumpamakan sebagai pelan lengkap pembangunan semula negara dalam setiap aspek ekonomi, politik dan sosial. Teras kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan adalah tiang-tiang utama yang ditegakkan terlebih dahulu untuk membangunkan semula negara ini.

9. Sesiapa yang mula membuka dan membaca buku Membangun Negara Madani sudah tentu tidak akan sirna penglihatannya ingin terus mencari dan meneliti sudut-sudut binaan yang dilukis dengan penuh teliti dalam pelan Malaysia Madani. Tidak kira sama ada anda seorang pembaca yang mengkagumi PMX atau membencinya, anda seharusnya membaca dan meneliti.

10. Tidak wajar untuk mendakwa kesempurnaan, kerana kesempurnaan itu milik Allah SWT sahaja, namun pelan Malaysia Madani adalah suatu pelan langka daripada cetusan seorang pemimpin yang sangat langka. Ia lebih lengkap dan komprehensif berbanding Wawasan 2020 yang diluncurkan pada tahun 1991. Persembahannya merangkumi cabaran kerumitan, percanggahan, kekacauan, keserentakan, namun diimbang dengan prospek masa hadapan, pemantauan dan institusi pemberdayaan.

11. Mungkin ada yang berkata, buat apa susah-susah mencipta pelan Malaysia Madani sedangkan kita sudah ada panduan Al-Quran dan sunnah? Ikut sahajalah Al-Quran dan sunnah yang sudah terjamin kebenaran dan tidak sesat.

12. Cakap-cakap yang simplistik begitu tidak ubah seperti kita mengatakan buat apa menyediakan pelan bina rumah sedangkan kita sudah ada pedoman Al-Quran dan sunnah. Atau kita tidak perlulah menggunakan apa-apa manual untuk membina atau memasang alat perabot atau peralatan di rumah atau pejabat. Cukuplah kita merujuk Al-Quran dan sunnah untuk membina bangunan atau memasang peralatan perabot dan elektrik.

13. Memang betul Al-Quran dan sunnah tiada kekurangan dan tiada cacat cela, tetapi ia bukanlah buku manual yang terperinci untuk mengurus kehidupan dunia yang sangat rencam dan sentiasa berubah ini.

14. Rasulullah SAW sendiri mengakui bahawa urusan kehidupan manusia (bukan dalam urusan akidah atau perkara ghaib), lebih diketahui oleh manusia itu sendiri. Anas mencerita bahawa pernah satu ketika Rasulullah SAW melihat pekebun-pekebun kurma di Madinah memanjat pokok kurma pada musim berbunga dan melakukan pendebungaan di antara pokok-pokok lalu baginda bersabda, “Jika kamu tidak melakukan (pendebungaan) itu, sudah lebih baik”. Pekebun-pekebun itupun berhenti daripada mendebungakan kurma mereka, lalu hasil kurma pada musim itu sangat tidak baik. Rasulullah SAW datang lagi melalui kebun kurma mereka, lalu bertanya, “Apa masalah kurma kamu?”. Mereka berkata: “Bukankah tuan telah berkata begitu begini (tidak buat pendebungaan lebih baik)?”. Rasulullah SAW bersabda: “Sebenarnya kamu lebih tahu hal urusan dunia kamu.” (Hadis sahih dikeluarkan oleh Muslim no. 2363, Ibn Majah dalam al-Sunan no. 2019 dan al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no. 1488)

15. Hadis ini menunjukkan Al-Quran dan sunnah tidak menyatakan secara terperinci pelan penyelesaian kepada segala masalah manusia. Kedua-dua sumber agama itu hanya menggariskan pedoman untuk manusia kepada akidah yang sejahtera, cara menyembah Allah, akibat dosa dan akibat pahala serta nilai-nilai murni seperti keadilan, hormat menghormati dan seumpamanya.

16. Justeru, mengeluarkan satu pelan pembinaan semula negara demi memastikan negara ini dipacu di atas landasan yang betul dan memastikan ia sampai kepada matlamat yang disasarkan adalah satu jihad yang mulia dan diberi pahala besar oleh Allah SWT.

17. Mari bersama wahai rakyat Malaysia kita menyokong dan bekerja dalam merealisasikan matlamat Malaysia Madani demi masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita.

Ustaz Ali Muda

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts