Teruk juga saya kena kecam dan maki hamun apabila nota saya yang bertajuk “UMNO Tidak Bela Najib?” disiarkan. Elok juga saya kena kecam dan maki hamun, kalau asyik kena pujipun tidak bagus juga. Nanti tidak seimbang pula. Hidup ini perlukan keseimbangan. Betul tak?
Nota saya dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah saya sedang membela seorang penyamun yang telah merompak wang rakyat. Begitulah persepsi buruk yang telah disandarkan dan disematkan kepada Dato’ Seri Najib, mantan Perdana Menteri Malaysia.
Sehingga apabila kita menulis sedikit tentang beliau maka kita akan dilabel sebagai membela penyamun dan perompak wang rakyat. Kalau betul beliau merompak dan menyamun wang rakyat tidak apa. Ini kerana beliau telah dijatuhkan hukuman bersalah dan sedang menjalani hukuman.
Tetapi itu bukan persoalan yang saya bangkitkan. Persoalan saya, bagaimana kalau beliau tidak bersalah? Bagaimana kalau apa yang telah berlaku itu sebenarnya adalah satu konspirasi politik sekadar untuk membunuh kerjaya politik beliau sahaja?
Bukankah kita sudah menganiaya dan menzalimi seorang mantan Perdana Menteri Malaysia? Bagi saya, kita semua perlu sedar tentang impak dari kes perbicaraan Dato’ Seri Najib ini. Ini kerana beliau adalah seorang mantan Perdana Menteri yang hebat dan terkenal di seluruh dunia. Kes beliau ini sudah pasti mendapat liputan dari seluruh dunia.
Oleh kerana kes beliau ini adalah kes jenayah dan melibatkan proses perbicaraan di mahkamah, kes ini juga akan menjadi rujukan sampai bila-bila. Jadi soalannya di sini, bagaimana kalau seluruh proses perbicaraan tersebut tidak menepati standard perbicaraan yang menjadi amalan biasa di seluruh dunia?
Ini bukan kes perbicaraan biasa. Ini kes perbicaraan seorang mantan Perdana Menteri. Kes yang berprofil tinggi. Bukankah perkara seperti ini akan memalukan negara sampai bila-bila?
Persoalan kedua saya, selain dari perbicaraan yang adil, sudah terbenam dalam benak dan pemikiran masyarakat khususnya para penyokong Dato’ Seri Najib bahawa kes ini turut melibatkan nama baik Tun Mahathir Mohamad. Seorang lagi mantan Perdana Menteri Malaysia. Beliau dianggap sebagai orang yang telah membuat konspirasi jahat untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib.
Bukankah ini telah melibatkan nama baik seorang tokoh besar yang telah dianggap sebagai seorang negarawan oleh banyak pihak? Mahu tidak percayapun susah. Siapa yang tidak tahu yang Tun Mahathir tidak sukakan Dato’ Seri Najib. Malah bukan Dato’ Seri Najib seorang yang beliau tidak suka. Ada ramai lagi.
Sebagai contoh, YBM Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, Tun Musa Hitam, Dato’ Seri Anwar dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Malah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidipun Tun Mahathir tidak suka juga.
Jadi di benak masyarakat Malaysia, agak sukar untuk menolak kemungkinan bahawa Tun Mahathir tidak terlibat dalam kes ini. Ini yang menjadi keprihatinan saya sebagai seorang rakyat Malaysia.
Atas dasar itu saya memohon secara terbuka kepada Kerajaan Perpaduan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau Royal Commission of Inquiry (RCI) untuk menyiasat secara terperinci proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes Dato’ Seri Najib.
Ini bagi memastikan segala persoalan, keraguan, keresahan dan kebimbangan yang menyelubungi kes tersebut dapat dibatalkan dengan kadar segera.
Sebagai seseorang yang pernah merasai dirinya dianiaya dan dizalimi, saya kira tidak sukar untuk Dato’ Seri Anwar menasihati DYMM Tuanku Agong untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut untuk menegakkan keadilan buat Dato’ Seri Najib.
Menegakkan keadilan buat Dato’ Seri Najib bermakna menegakkan keadilan buat rakyat Malaysia. Untuk apa bernegara kalau kita tidak berusaha atau tidak mampu memberi keadilan kepada semua pihak? Bukankah matlamat bernegara itu untuk menegakkan keadilan dan memberikan kesejahteraan kepada semua pihak yang terlibat?
Maka biarlah keadilan dan kesejahteraan itu dapat dirasai. Bukan sekadar retorik politik semata-mata.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas