NAJIB: KHUATIR SST – CUKAI BERGANDA DAN MENGHUKUM GOLONGAN B40

81
SHARES
262
VIEWS

Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

2 September 2018

Semakin bertambah barangan yang dikenakan SST

Kastam telah menyemak semula senarai barangan di bawah Cukai Jualan. Senarai terkini bertarikh 26 Ogos mempunyai banyak barangan yang berbeza dari senarai terdahulu bertarikh 21 Ogos.

Walaupun ketupat tidak lagi dikenakan cukai jualan, senarai terkini itu bagaimanapun turut memasukkan makanan segar dan pelbagai barangan yang sebelum ini tidak tersenarai.

Saya lihat ketam, udang, sotong, kerang dan lala kini dikenakan cukai jualan 10 peratus. Pelbagai jenis perencah, sos, beberapa jenis daging dan ikan, daging burger, sosej, keju dan mentega turut dikenakan cukai jualan antara 5 dan 10 peratus.

Saya juga lihat pelbagai jenis minuman dikenakan cukai jualan termasuk jus buahan dikenakan cukai 5 peratus, soda (10%) dan air mineral (10%).

SST adalah dua jenis cukai berbeza

Ramai tidak menyedari bahawa SST sebenarnya ialah dua jenis cukai berbeza – Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang memerlukan dua akta berbeza diluluskan di parlimen (kedua-dua akta cukai berkenaan digantikan dengan satu akta tunggal dan telus iaitu GST pada masa lalu).

Lim Guan Eng tidak bercakap benar

Oleh itu, Lim Guan Eng tidak bercakap benar apabila beliau mengucapkan kepada orang awam bahawa cukai SST hanya dibayar oleh pengilang dan bukan oleh pengguna.

Maka, apabila restoran dan isi rumah membeli bahan mentah seperti udang, ketam dan kerang, mereka sudah membayar cukai jualan 10 peratus yang perlu ditanggung oleh pengilang atau pengeluar. Restoran dan pembeli isi rumah tidak akan melihat jumlah yang dibayar mereka bagi cukai jualan tetapi terpaksa membayar pada harga yang tinggi.

Harga semakin mahal apabila makan di restoran

Situasi ini akan lebih buruk apabila pengguna makan makanan ini di restoran di mana cukai perkhidmatan terpakai di premis ini.

Restoran kini perlu membayar cukai jualan ke atas ketam, udang, beberapa jenis sayuran, mentega, keju, perencah dan sos bagi menyediakan makanan mereka.

Apabila mereka menyediakan hidangan itu bersama minuman dalam botol yang mempunyai cukai jualan, mereka juga akan mengenakan tambahan 6 peratus bagi cukai perkhidmatan yang dipapar di resit pelanggan.

Rakyat dikenakan cukai dua kali

Untuk itu, pelanggan restoran dikenakan cukai dua kali, cukai perkhidmatan 6 peratus yang dapat dilihat pada bil dan cukai jualan ke atas makanan dan minuman disediakan namun tidak dipaparkan pada resit.

Begitu juga akan berlaku di bengkel kereta dan pusat servis di mana alat-alat ganti dan minyak pelincir dikenakan cukai jualan dan ditambah lagi dengan cukai servis.

SST adalah cukai bertindih (cascading tax) berbanding GST

Inilah yang pelbagai pihak termasuk saya sendiri pernah beri amaran bahawa SST adalah satu cukai bertindih (cascading tax) di mana terdapat barangan yang dikenakan cukai berganda. Ini berbeza dengan GST pada kadar 6 peratus di mana ia hanya dicaj sekali.

Pada masa ini, banyak restoran masih lagi menggunakan bahan mentah yang dibeli sebelum perlaksanaan SST namun selepas ini mereka akan membeli bekalan baharu dengan cukai jualan, dan dijangkakan harga di restoran akan naik lebih banyak lagi pada hari mendatang berbanding ketika GST berkuatkuasa.

Orang dari golongan B40 juga makan ikan masin, udang, kerang dan ketam – biarpun untuk dimasak di rumah ataupun di restoran. Ia tidak patut dikenakan cukai jualan seperti yang dikecualikan di bawah cukai GST dahulu.

Cukai berganda dan menghukum golongan B40

Saya gesa kerajaan untuk mengeluarkan kesemua makanan segar, minuman dan bahan penyediaan makanan dari dikenakan cukai untuk mengelak berlaku cukai berganda di restoran dan juga untuk mengelak dari menghukum golongan B40.

(Dipetik melalui laman Facebook beliau)

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts