Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dipetik berkata sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan semua Ahli Parlimen dan ADUN akan menjadi kebal.
Segala yang mereka ucapkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan menjadi kesalahan dan tidak boleh didakwa di mahkamah.
Ini termasuklah sekiranya mereka mengecam Raja-raja Melayu, Islam dan perkara-perkara yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.
“Jika Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, semua Ahli Parlimen dan ADUN akan menjadi kebal 100%.”
“Apa sahaja yang diucapkan di Parlimen dan DUN tidak menjadi apa-apa kesalahan atau tidak boleh didakwa di mahkamah.”
“Selama ini jika disentuh perkara-perkara sensitif seperti mengecam Raja-raja Melayu, Islam dan perkara-perkara yang masih dibicarakan serta batang tubuh hakim-hakim, tidak menjadi kesalahan kepada Ahli Parlimen atau ADUN.”
“Cuba bayangkan kesan jika Akta Hasutan dimansuhkan.”
“Wahai Melayu Islam bangkitlah sebelum terlambat, PERTAHANKAN AKTA HASUTAN.”
Ibrahim turut menggesa kerajaan mewujudkan referendum rakyat atau pungutan suara sebelum membuat sebarang keputusan untuk memansuhkan akta tersebut.
Pihak kerajaan juga perlu memberi penjelasan mengenai mekanisme yang digunakan untuk memelihara agama, institusi Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu sekiranya akta itu dimansuhkan.
“Banyak lagi perkara dalam manifesto Pakatan Harapan yang tidak dilaksanakan, mengapa terburu-buru mahu laksana manifesto untuk mansuhkan akta ini sedangkan rakyat mengundi kerajaan sekarang kerana janji-janji berkenaan kos sara hidup.”
“Pelik mengapa ini jadi agenda utama sekarang.”
“Bagi saya ada sesetengah pihak dalam kerajaan sekarang yang mengambil kesempatan untuk melaksanakan agenda sempit mereka.”
“Saya harap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tegas mengenai perkara ini dan tidak membenarkan sesiapa mengambil kesempatan kerana saya percaya ketiadaan akta ini akan menjadikan negara kita lebih kucar-kacir.”