20 tahun lamanya beliau berjuang untuk reformasi negara sejak tahun 1998 apabila dipecat oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana skandal liwat yang menggemparkan negara.
20 tahun lamanya beliau diaibkan oleh bekas Perdana Menteri keempat yang menyaksikan beliau dihina, dicederakan dan difitnah kerana meliwat namun akhirnya dipenjarakan kerana salah guna kuasa.
20 tahun lamanya beliau menanti untuk dibersihkan dan diangkat kembali ke tempat yang sepatutnya iaitu sebagai Perdana Menteri namun berlanjutan sehingga kini masih belum berkesudahan.
20 tahun lamanya rakyat menanti kemelut ini berakhir dan diharapkan menemui noktahnya tidak lama lagi. Tun Mahathir yang diangkat sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan yang kini menjadi kerajaan, diharapkan dapat mengotakan janji untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.
20 tahun lamanya rakyat berpecah belah kerana pemecatan Anwar pada tahun 1998 dan selama itulah fitnah dan politik kotor di negara ini berleluasa dan mencapai tahap yang tidak terjangkau oleh akal.
20 tahun lamanya Anwar sabar menanti dan terus berjuang meniti ombak dan duri, digeruni lawan dan dihormati oleh rakan-rakannya.
20 tahun lamanya untuk Anwar dan Tun Mahathir kembali bersama berjuang atas satu landasan iaitu Pakatan Harapan yang kini menjadi kerajaan.
20 tahun lamanya penantian Anwar yang penuh rintangan dan pancaroba, yang kini hanya selangkah ke Putrajaya.
Semoga Anwar Ibrahim mampu membawa negara tercinta kembali kepada keadaan sedia kala seperti sebelum pilihanraya dan bukannya memerintah negara melalui dendam kesumat dan kebencian, yang rakyat telah muak dan penat melaluinya.
Semoga beliau mempunyai kekuatan untuk merombak barisan kabinet sedia ada yang hanya kerap membuat kesilapan demi kesilapan yang menjahanamkan negara.
Malaysia masih mempunyai harapan selagi janji ditunaikan dan Anwar mampu melaksanakannya dengan bantuan barisan kabinet yang mantap dan sedia bekerja untuk rakyat dan bukan hanya untuk melonjakkan nama.
Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemenangan di pilihan raya kecil Port Dickson dan kini bergelar Ahli Parlimen.
Setelah 20 tahun lamanya menanti dan kini hanya selangkah sahaja lagi untuk Anwar ke Putrajaya dan menamatkan “perlumbaan marathon politik” yang mungkin paling lama di dunia.