Presiden Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dipetik berkata, perniagaan tidak halal diakui boleh mencecah jualan sehingga bilion atau trilion ringgit namun perniagaan itu tidak boleh disertai oleh orang Melayu beragama Islam kerana selain tidak dibenarkan, ia juga bertentangan dengan agama.
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Him berkata, orang bukan Islam dilihat berjaya kerana mereka terlibat dalam perniagaan tidak halal seperti kasino dan perjudian, menjadi agen minuman keras serta menguruskan pusat hiburan.
“Saya terpanggil menyatakan ini untuk menjawab kenyataan seorang individu baru-baru ini mencadangkan kononnya untuk mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu beragama Islam agar menyertai perniagaan tidak halal, dengan alasan perniagaan itu boleh memberi keuntungan yang besar.”
“Tidak dinafikan, saya sendiri pun jangka perniagaan tidak halal ini boleh dapat bilion atau trilion ringgit. Contohnya, kasino, Magnum, kemudian menjadi agen minuman keras dan pusat hiburan.”
“Semua ini orang Melayu Islam tidak dibenarkan berniaga, permit hanya dikeluarkan kepada orang bukan Islam.”
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Zaid Ibrahim yang mencadangkan agar lesen arak dan judi serta pusat hiburan turut diberikan kepada orang Islam untuk meningkatkan ekonomi mereka.
Tok Him turut mengulas bahawa beliau pernah mengungkit perkara tersebut dan tidak mungkin boleh bersaing dengan orang bukan Melayu atau Islam, yang dipetik berkata dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam.
“Kita orang Islam ada peraturan dan kena patuh agama, sedangkan bukan Islam tak ada halangan.”
“Bagi saya, orang yang mencadangkan ini agak nakal atau mungkin dia yang nak lesen ini.”
Menurutnya, ada cara dan kaedahnya untuk mengangkat ekonomi orang Melayu tanpa terlibat dalam perniagaan tidak halal namun ia mesti mendapat kerjasama orang Melayu itu sendiri dengan tekad yang jitu dan kekuatan politik.
“Oleh kerana negara kita Islam adalah agama Persekutuan dan orang Islam tidak boleh berniaga dalam bidang tidak halal, tapi kerajaan terdahulu telah mewujudkan kek ekonomi sekitar 30 peratus.”
“Kita sepatutnya tentang, bantah kasino dan desak kerajaan supaya tarik lesen atau jangan keluarkan lesen pusat hiburan dan arak dan sebagainya.”
“Tapi kita orang Islam menghormati hak kebebasan bukan Islam.”
“Apa yang kita boleh buat ialah menggunakan hak kita dalam fasal 153 Hak Istimewa Orang Melayu, tetapi kita tidak guna hak ini sepenuhnya untuk bantu ekonomi Bumiputera.”
Katanya, sekarang ini sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, ia memperkenalkan dasar tanpa mengira kaum yang turut dipersetujui oleh Perkasa namun mempersoalkan bagaimana perbezaan penguasaan ekonomi antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera yang boleh membantu penyusunan semua ekonomi negara.
Tok Him juga memberi contoh harga rumah kedai di bandar naik begitu tinggi sehingga Bumiputera tidak mampu memiliki atau menyewanya.
“Tapi di mana kerajaan, apa yang kerajaan lakukan untuk membantu Bumiputera ini? Tidak ada.”
Beliau turut memberi peringatan kepada orang Melayu agar jangan besar kepala hendak membolot hak sesama bangsa, sebaliknya sedar dan insaf sebelum terlambat kerana sudah lama kedengaran mereka hendak menghapuskan Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan kerana itu mereka rancak menyokong hapuskan Akta Hasutan.
“Mereka hendak apa saja dasar adalah sama. Saya nak tanya, kalau tak ada ketuanan bangsa, kita ada apa?”