Apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ingin dilaksanakan di negara ini sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin segala-galanya termasuk hak-hak rakyat yang dahulunya dikenali sebagai kaum pendatang untuk hidup bersama di negara ini, maka kaum majoriti berhimpun.
Melayu Bumiputera tidak pernah ingin merampas hak orang lain, hanya mempertahan haknya sendiri
Mereka berhimpun kerana merasakan hak-hak sedia ada mereka bakal dicabuli, bahkan sama seperti kaum minoriti atau sesiapa jua pasti akan membuat perkara yang sama apabila merasakan hak-hak mereka diancam.
Belum pernah kita mendengar sebarang tuntutan untuk memiliki atau menghapuskan apa yang telah kaum pendatang miliki selama ini yang tidak sedikitpun dicemburui oleh kaum asal iaitu Melayu Bumiputera.
Melayu berhimpun dengan penuh hemah dan berdisiplin
Mereka berhimpun demi menzahirkan Himpunan Aman 812 semalam di ibu kota yang dihadiri sekitar 500,000 yang semuanya adalah kaum asal yang juga kaum majoriti iaitu Melayu dan Bumiputera.
Himpunan ini langsung tidak menimbulkan kekacauan, jauh sekali memukul dan mencederakan anggota yang bertugas menjaga keamanan ataupun merusuh dengan memukul pejalan kaki yang berhampiran.
Mereka berhimpun dengan berhemah – lambang kelembutan Melayu yang cukup bersabar, apabila Perlembagaan Persekutuan bakal dicabuli, diubah malah berkemungkinan dihapuskan secara perlahan-lahan.
Ini kerana ratifikasi ICERD turut melibatkan negara lain yang boleh berterusan mendesak negara yang meratifikasinya untuk patuh dengan perincian dalam perjanjian tersebut, termasuk menghapuskan hak-hak yang dijamin Perlembagaan.
Malay Mail menyamakan Malaysia seperti Brunei, Myanmar dan Korea Utara
Dalam akhbar Malay Mail bertarikh 22 November malah seolah-olah menyindir Malaysia kononnya antara tiga negara berjiran termasuk Brunei, Myanmar dan juga Korea Utara yang masih tidak menandatangani ICERD.
Sedangkan Malaysia tidak melayan kaum pendatang seperti negara Myanmar melayani kaum Rohingya – mereka merogol, menyembelih, mendera, menafikan hak Rohingya, termasuklah membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Rejim Korea Utara pula mengamalkan dasar tertutup terhadap dunia luar, rakyatnya disekat daripada mendapatkan maklumat sebenar dan keras terhadap penduduknya sendiri termasuk melaksanakan hukuman bunuh atau penduduk didapati hilang begitu sahaja sekiranya mengkritik kerajaan.
Berbeza dengan Malaysia di mana kaum pendatang dilayani dan disantuni dengan sebegitu baik sekali sehingga ramai dalam kalangan mereka kaya-raya hasil daripada Perlembagaan yang tidak pernah mengabaikan dan mendiskriminasikan hak-hak mereka.
Sekolah vernakular – Cina dan Tamil
Negara jiran Indonesia telah menandatangani ICERD tetapi adakah mereka seperti Malaysia yang membenarkan sekolah vernakular (Cina dan Tamil) beroperasi?
Adakah rakyat Cina Indonesia dibenarkan berbahasa Cina secara terbuka? Malah nama mereka juga perlu mengikut nama Indonesia seperti Rusdi Kirana, pemunya Malindo Air yang kini Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang berbangsa Cina.
Namun itu tidak menjadi masalah bagi warga Indonesia berbangsa Cina malah mereka berbangga dan menentang keras jika persoalan bahasa dan bangsa ini diusik, kerana mereka mendokong Pancasila – seumpama Perlembagaan di Malaysia.
Betapa lembutnya Malaysia selama ini sehinggalah warganegara sendiri tidak fasih berbahasa Melayu yang boleh diatasi dengan mudah oleh pekerja asing warga Bangladesh dan Pakistan yang lebih menguasai bahasa Kebangsaan.
Selain itu, negara jiran Singapura juga meratifikasi ICERD pada 2017 setelah menandatanganinya pada 2015 namun bukankah mereka yang menghapuskan sekolah vernakular, Cina dan Tamil di negara mereka?
Cina Singapura sendiri hapus hak kaum Cina dan masih mempunyai ISA
Mereka sendiri menghapuskan hak kaum Cina di Singapura sedangkan pemerintah mereka didominasi kaum Cina, yang tidak berlaku di Malaysia walaupun sejak 60 tahun dahulu kerajaan Malaysia didominasi oleh kaum Melayu Bumiputera.
Malah Singapura sendiri masih mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di mana ISA telah lama dimansuhkan di Malaysia, jika hak asasi kononnya yang menjadi pertikaian untuk beriya meratifikasi ICERD.
Israel meratifikasi ICERD namun tetap menindas
Israel juga telah meratifikasi ICERD tetapi lihatlah bagaimana mereka selaku kaum pendatang menindas kaum asal iaitu masyarakat Palestin?
Malaysia tidak meratifikasi ICERD namun kaum asal tidak menindaspun kaum pendatang yang kini kaya-raya di bumi Malaysia tanpa gangguan atas hasil usaha mereka.
Jadi apa perlunya ICERD di Malaysia melainkan muslihat menghapuskan hak-hak kaum asal yang termaktub dalam Perlembagaan?
- Adakah selama ini kaum asal Melayu Bumiputera ini menindas kaum pendatang seperti Myanmar?
- Ataupun menutup maklumat luar dan bertindak keras termasuk hukuman bunuh seperti Korea Utara lakukan terhadap rakyatnya sendiri?
- Adakah Malaysia selama ini menindas dan memperlakukan rakyatnya mengikut warna kulit seperti masyarakat kulit hitam yang masih dilayan seperti warga kelas kedua di Amerika Syarikat yang kononnya juara hak asasi manusia?
- Ataupun Malaysia bertindak menutup sekolah Cina dan Tamil untuk menjadi seperti Singapura dan Indonesia yang tidak mempunyai sekolah vernakular?
- Adakah Malaysia mengambil tanah dan hak kaum lain seperti dilakukan kaum minoriti Israel terhadap kaum majoriti Palestin?
- Atau adakah Malaysia seperti Brunei yang melayani rakyatnya dengan sebegitu baik sekali walaupun tidak meratifikasi ICERD?
Malaysia tetap mempunyai kekurangan namun tidak menindas mana-mana kaum
Negara kita tidak terlepas daripada kekurangan namun hakikatnya Malaysia tidak menindas mana-mana kaum dan Perlembagaan sendiri tidak membenarkan rakyatnya dilayan mengikut warna kulit.
Apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan adalah sesuatu yang wajar dihormati oleh semua pihak tidak kira siapapun mereka.
Pendokong dan pemuja ICERD bertegas kononnya hak-hak kaum Melayu Bumiputera sedia ada dalam Perlembagaan tidak akan terhapus sedangkan pakar perundangan berkata sebaliknya termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid.
Tindakan tegas buat ‘pengkhianat’ Perlembagaan
Para pencabar atau pengkhianat Perlembagaan ini sepatutnya dikenakan tindakan tegas bersesuaian dengan tindakannya mencabar undang-undang tertinggi yang boleh menghuru-harakan negara.
Cukup-cukuplah menyemarakkan api perkauman.
Ekonomi dan perniagaan dikuasai kaum pendatang – lambang tidak berlaku sebarang diskriminasi
Hakikatnya 9/10 dalam senarai mereka yang terkaya terdiri daripada kaum pendatang, golongan minoriti dan bukannya orang Melayu Bumiputera.
Lihat deretan kedai dan pasaraya besar, gedung-gedung membeli belah terkemuka di bandar-bandar besar adalah milik kaum pendatang dan bukannya kaum asal yang menetap di negara ini.
Syarikat-syarikat utama yang tersenarai di Bursa juga terdiri daripada syarikat-syarikat bukan milik Melayu Bumiputera, yang bahkan mampu bersaing dengan GLC milik kerajaan!
Justeru di manakah rasionalnya pendokong dan pemuja ICERD ingin meneruskannya jika mereka sendiri mendominasi ekonomi dan perniagaan di Malaysia?
Melayu Bumiputera amal Apartheid?
Ironinya ada juga segelintir kaum pendatang yang tersalah menggunakan hujah kononnya mereka sedang di’Apartheid’kan walhal maksud sebenar Apartheid ialah kaum minoriti menindas dan mengambil hak kaum majoriti di mana golongan minoriti ‘white‘ menindas kaum asal yang juga majoriti di Afrika Selatan bermula tahun 1948.
Sebagai rekod, ICERD hanya ditandatangani oleh Afrika Selatan pada tahun 1998, selepas Apartheid tamat pada awal 90-an dan bukannya ICERD yang membantu menghentikan penindasan Apartheid oleh kaum minoriti ‘white‘.
Namun itulah uniknya Malaysia, tidak seperti mana-mana negara di dunia yang masih membenarkan rakyatnya mempertikai dan mencabar Perlembagaan negaranya sendiri manakala yang mempertahan Perlembagaan pula dipandang hina dan digelar RASIS.
Maka, siapa yang amal Apartheid sebenarnya?