PILIHAN TERBAIK BUAT MCA DAN MIC

156
SHARES
502
VIEWS

Oleh Isham Jalil

MCA dan MIC kini berada di persimpangan dalam perjuangan mereka.

Mereka telah lama berjuang dalam BN bersama UMNO dan saya sendiri mempunyai ramai sahabat karib dalam MCA dan MIC dan telah berjuang bersama-sama mereka.

Kini MCA dan MIC mempunyai tiga pilihan.

(Saya akan membuat ulasan secara rasional dan bukan mengikut sentimen ke atas pilihan-pilihan ini kerana saya berpendapat pertimbangan rasional yang diperlukan oleh MCA dan MIC untuk membuat keputusan di persimpangan ini dan bukan mengikut sentimen atau emosi.)

PILIHAN PERTAMA

Pertama, mereka boleh meninggalkan BN dan berjuang bersendirian.

Pilihan ini adalah sama kesannya dengan cadangan mereka untuk membubarkan BN dan meninggalkan rakan kerjasama sekian lama iaitu UMNO.

Jika mereka memilih jalan ini, MCA dan MIC akan berjuang dan bertanding dalam pilihan raya secara bersendirian menentang BN dan PH.

Di atas permukaan, ini adalah langkah yang nampak berprinsip yang menghantar isyarat yang jelas bahawa mereka tidak bersetuju dengan penyatuan UMNO dan PAS dan pada masa yang sama mereka bukan oportunis yang lari kepada PH apabila menghadapi masalah.

Namun demikian, sekiranya MCA dan MIC bergerak bersendirian, besar kemungkinan mereka tidak akan menang mana-mana kerusi Parlimen mahupun DUN, jauh sekali membentuk kerajaan pada sekurang-kurangnya PRU yang akan datang atau pilihan raya-pilihan raya kecil sebelumnya.

DAP dan Parti Gerakan tahu akan hal ini; mereka tidak pernah berjaya untuk membentuk kerajaan sebelum ini di peringkat negeri mahupun persekutuan tanpa kerjasama dengan parti-parti politik besar yang lain dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan.

DAP hanya menang Pulau Pinang pada tahun 2008 setelah bekerjasama dengan PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat, setelah mereka berkali-kali mencuba dan tidak berjaya.

Sekiranya MCA dan MIC memilih pilihan ini, besar kemungkinan DAP dan PKR akan berjaya melenyapkan mereka seperti yang dikatakan oleh DAP sebelum ini.

Untuk kelangsungan perjuangan politik dan menegakkan prinsip untuk rakyat, kita perlu mendapatkan kuasa.

Dalam sistem demokrasi, untuk mendapatkan kuasa kita perlu menang pilihan raya dahulu.

Tanpa kemenangan pilihan raya, mana-mana parti atau pemimpin politik tidak akan mendapat mandat daripada rakyat untuk membawa perubahan kepada dasar kerajaan dan kehidupan rakyat seperti yang diperjuangkan.

Jika ini berlaku, perjuangan dan prinsip yang diperjuangkan akan menjadi sia-sia.

Harapan dan aspirasi perjuangan politik mereka besar kemungkinan akan terkubur.

Ini bukanlah pilihan yang bijak dan baik.

PILIHAN KEDUA

Kedua, mereka boleh meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Jika mereka memilih pilihan ini, maka mereka mungkin boleh menang di kerusi-kerusi yang mereka bertanding sebelum ini iaitu di kawasan-kawasan bandar di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) jika diberi peluang bertanding.

Sebelum ini, di atas tiket BN, MCA dan MIC telah bertanding di 39 dan 8 kerusi Parlimen yang hampir semua adalah di kawasan bandar atau separa bandar.

Dan di hampir semua kerusi-kerusi ini mereka telah tewas teruk di tangan DAP dan PKR.

Mereka hanya menang di segelintir kawasan-kawasan luar bandar atau separa bandar di mana majoriti pengundi adalah orang Melayu.

Namun demikian, adalah sukar untuk digambarkan bahawa DAP dan PKR akan menyerahkan kerusi-kerusi Parlimen yang mereka telah menang besar tersebut kepada MCA atau MIC untuk bertanding di atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang akan datang.

Jika ada pun, MCA atau MIC mungkin akan dapat satu atau dua kerusi boleh menang sebagai ‘token’ daripada DAP atau PKR dan mereka akan terhutang budi dan terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR dalam PH.

Besar kemungkinan PH akan memberikan MCA dan MIC untuk bertanding di kerusi-kerusi kawasan Melayu atau campuran di luar bandar yang mereka kalah dahulu berhadapan dengan UMNO atau PAS.

Dan tanpa sokongan Melayu pada kali ini, MCA dan MIC di bawah PH akan tewas di semua kerusi-kerusi ini.

Sekiranya ini berlaku, sekali lagi harapan dan aspirasi perjuangan politik mereka akan terkubur.

Namun saya pasti perjuangan MCA dan MIC bukanlah sekadar perjuangan merebut kerusi untuk menang pilihanraya dan mendapat jawatan kerajaan.

Perjuangan mereka ialah perjuangan untuk komuniti mereka: iaitu perjuangan untuk orang-orang Cina dan orang-orang India di Malaysia tanpa mengganggu-gugat hak kaum lain.

Ini selari dengan perjuangan UMNO dan PAS iaitu perjuangan untuk orang-orang Melayu dan Islam tanpa mengganggu-gugat hak kaum-kaum dan agama-agama lain.

Dari segi ideologi, jika MCA dan MIC menyertai PH, ini adalah tidak selari dengan ideologi perjuangan politik mereka selama ini.

MCA dan MIC adalah parti yang berasaskan kaum atau identiti.

Sebaliknya, PH memperjuangkan asimilasi kaum; oleh itu parti berasaskan kaum atau identiti tidak ada tempat dalam PH.

Ini mendatangkan konflik ideologi kepada MCA dan MIC dengan parti-parti dalam PH sendiri sekiranya MCA dan MIC menyertai PH.

Sebelum ini saya pernah menulis bahawa parti berasaskan kaum dan identiti tidak semestinya rasis dan parti yang pelbagai bangsa tidak semestinya tidak rasis.

Dalam banyak kes, parti atau organisasi yang kononnya pelbagai bangsa lebih teruk mengamalkan rasisme dan kerap kali menyelindung amalan ini dengan menggunakan ‘tokenisme’.

Masalah di atas menjadi lebih teruk di negara-negara yang mengamalkan asimilasi bangsa, seperti yang diperjuangkan oleh DAP dan PH (baca selanjutnya di sini: “ICERD dan mengapa semua kaum di Malaysia perlu menolaknya”  di IshamJalil.com).

Di negara-negara yang mengamalkan asimilasi, kaum-kaum minoriti terpaksa meninggalkan budaya, cara hidup serta adat resam mereka dan berasimilasi dengan mengambil budaya dan adat resam kaum majoriti.

Namun oleh kerana perbezaan agama dan warna kulit, masalah perkauman dan diskriminasi tetap berlaku dalam masyarakat majmuk yang cuba diasimilasi terutama dalam hal sosio-ekonomi malah ia menjadi lebih teruk apabila tiada parti-parti politik berasaskan identiti untuk memperjuangkan untung nasib komuniti mereka.

Sebab itu parti-parti politik berasaskan identiti dan kaum seperti UMNO, MCA, MIC dan PAS adalah penting.

Sebelum ini saya pernah berkata bahawa dalam masyarakat majmuk, asimilasi kaum akan menerukkan masalah diskriminasi dan bukannya sebaliknya seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Singapura.

Dan sebab itu juga saya pernah berkata bahawa konsep Malaysian Malaysia seperti yang dibawa oleh DAP dan PH tidak akan berjaya menyelesaikan masalah perkauman dan diskriminasi di Malaysia malah menjadikannya lebih parah dan menggetirkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.

Di Malaysia di bawah Barisan Nasional sejak sekian lama sebelum ini kita mengamalkan integrasi kaum dan bukannya asimilasi.

Ini bermaksud, semua kaum bebas mengamalkan dan meneruskan kelangsungan adat resam dan budaya mereka tanpa paksaan untuk ber-asimilasi ke dalam budaya kaum majoriti.

Sebab ini juga Kerajaan BN sebelum ini membiayai sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil untuk kelangsungan dan pengekalan identiti serta budaya masyarakat Cina dan India di Malaysia seperti yang dipersetujui dalam kontrak sosial sewaktu pembentukan negara ini.

Tidak ada negara majmuk dalam dunia ini yang mana kerajaan membiayai sekolah-sekolah berasaskan identiti kaum minoriti.

Ini hanya berlaku di Malaysia di bawah dasar integrasi kaum Barisan Nasional selama ini.

Sekiranya kita beralih kepada dasar asimilasi seperti yang diperjuangkan DAP, maka besar kemungkinan tiada lagi sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan dibiayai oleh kerajaan sebab ianya tidak selari dengan ideologi asimilasi bangsa ala Malaysian Malaysia yang dibawa PH.

Jikapun PH masih mengekalkan dasar BN untuk membiayai sekolah-sekolah berasaskan identiti kaum ini, ia adalah kerana kepentingan politik mereka semata-mata iaitu sebab mereka takut hilang undi Cina dan India walaupun dasar ini bertentangan dengan ideologi mereka (PH).

Sekiranya MCA dan MIC menyertai PH, mereka juga akan terperangkap dengan konflik ideologi ini yang akan melemahkan prinsip perjuangan mereka.

Pilihan ini juga tidak baik untuk mereka.

PILIHAN KETIGA

Ketiga, mereka boleh kekal di dalam BN dan meneruskan perjuangan bersama UMNO dengan kerjasama PAS.

Jika MCA dan MIC kekal dalam perjuangan bersama UMNO dalam BN, maka kita ada peluang untuk menang kembali dan membentuk kerajaan pada PRU-15 akan datang.

Kerjasama PAS bersama BN akan meningkatkan peluang kita untuk sama-sama mencapai kejayaan.

Kerjasama ini menguntungkan semua dalam blok pembangkang baik UMNO, MCA, MIC dan PAS.

UMNO dan PAS tidak akan bertanding tiga penjuru menentang PH lagi pada PRU yang akan datang.

Kedua-dua parti ini akan membincangkan soal pembahagian kerusi apabila dekat pilihan raya kelak.

Hampir kesemua kerusi-kerusi yang akan diagihkan di antara UMNO dan PAS ini bukanlah kerusi-kerusi MCA dan MIC di kawasan campuran atau kawasan bandar.

Oleh itu MCA dan MIC tidak perlu risau akan hal ini malah dengan BN mereka boleh bertanding di lebih banyak kerusi boleh menang berbanding jika mereka menyertai PH atau bertanding bersendirian.

Dengan bantuan PAS, adalah dijangka bahawa BN dan PAS akan berjaya menang dan menambah lebih 30 kerusi Parlimen di PRU-15 akan datang termasuk di kerusi-kerusi MCA dan MIC.

Kerjasama UMNO dan PAS dalam BN ini adalah ancaman yang besar kepada DAP, PKR, Bersatu dan PAN dalam PH; ia bukan suatu ancaman kepada MCA dan MIC malah jauh sekali, ianya adalah satu peluang.

Jika sebelum ini DAP boleh bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, saya rasa MCA dan MIC adalah lebih semulajadi (natural) untuk bekerjasama dengan PAS berbanding DAP sebab MCA dan MIC adalah parti yang lebih pragmatik dan berfikiran terbuka berbanding DAP.

Secara rasional, di antara ketiga-tiga pilihan di atas, saya berpendapat pilihan ketiga iaitu kekal bersama BN adalah pilihan yang terbaik buat MCA dan MIC.

Jika kita berpecah, maka kita akan menghadapi jalan yang lebih berliku di hadapan.

Namun sebaliknya, sekiranya kita istiqamah dan kekal bersama dalam perjuangan ini, kita ada peluang yang besar untuk membentuk semula kerajaan dalam masa yang terdekat ini untuk kebaikan rakyat.

Saya harap MCA dan MIC akan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka dan sahabat-sahabat saya dalam MCA dan MIC walau apa pun keputusan mereka esok.

Ikhlas dan Salam,

ISHAM JALIL

Marhaen BN

7 Mac 2019

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/422035385218658/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts