Oleh Anuar Shaari
1. Setelah BN menang bergaya di PRK Rantau, tumpuan kini terarah ke PRK Sandakan yang akan diadakan dalam masa terdekat. Hampir pasti DAP akan meletakkan calon mereka berdasarkan perkembangan semasa politik negara.
2. Parti WARISAN ‘Sabah based‘ hanya mampu menyokong kenyataan ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan iaitu DAP yang akan bertanding di Parlimen Sandakan nanti, kenyataan yang telah dibuat tanpa menunggu keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir.
3. Sepatutnya WARISAN sebagai parti tempatan diberi keutamaan menentukan calon PH di Sandakan, bukan DAP. DAP adalah parti ‘persekutuan’ dan tentunya bukan ‘Sabah based‘. Akan ada yang berhujah, walaupun DAP parti luar, calon mereka nanti adalah anak tempatan Sandakan.
4. Mengenali DAP, seseorang calon pilihan raya bagi DAP akan diputuskan oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Jika bukan dari kelompok anak beranak Lim, sukar untuk mana-mana ahli DAP terpilih sebagai calon. Calon DAP juga mestilah seorang yang taat setia kepada anak beranak Lim.
5. Jika ini terjadi, wakil rakyat DAP Sandakan nanti akan berketuakan anak beranak Lim dari luar Sabah. Wakil rakyat DAP akan banyak menghabiskan masa membela kepentingan politik anak beranak Lim dari membela rakyat tempatan yang telah memilih mereka seperti yang berlaku kepada kebanyakan wakil rakyat DAP sekarang.
6. Kepercayaan masyarakat terhadap DAP kian terhakis. Banyak situasi, rakaman ceramah dan program membuktikan DAP adalah parti paling rasis di Malaysia. Sebahagian ahli DAP juga mula sedar dan menyalahkan anak beranak Lim kerana menyemai politik rasis dan kebencian. Kerana itu anak beranak Lim akan memastikan calon mereka bertanding di Sandakan menang bagi memulihkan sedikit imej mereka dan DAP di kalangan penyokong tegar DAP.
7. Sebagai parti yang mengetuai kerajaan negeri Sabah, amat wajar WARISAN diberi peluang mewakili PH pada PRK Sandakan. Ini lebih bermakna kerana sekiranya calon WARISAN diberi peluang bertanding dan menang, ianya akan memudahkan koordinasi di peringkat parti dan kerajaan di Sabah. Lagi pula, WARISAN wajar diberi ‘pampasan’ oleh PH kerana sedia berkorban menerima kemasukan parti PPBM ke Sabah walaupun dalam keadaan ‘paksa rela’.
8. Apapun, kita tengok sejauh mana DAP mahu berkorban dan menyerahkan kerusi Sandakan kepada WARISAN. Kita lihat juga sejauh mana keberanian pemimpin PH menyanggah kemahuan anak beranak Lim dan DAP yang sering bertindak mendahulukan kepentingan DAP dari kepentingan PH. Jika benar DAP ada semangat MA63 yang mahu membela kepentingan Sabah dan Sarawak, inilah masa DAP membuktikan dengan memberi laluan kepada parti tempatan Sabah mewakili PH di Sandakan.
8. Untuk BN dan PAS, saya berpandangan tidak perlu terikut-ikut langkah DAP yang tetap mahu bertanding di Sandakan. BN dan PAS perlu masa ‘bertenang’ setelah berjuang dan menang bergaya di tiga PRK lalu. Tempoh bertenang boleh dimanfaatkan dengan berbincang dan merangka kerjasama yang lebih luas lagi bagi membina kejayaan cemerlang masa hadapan.
Jika ada, BN dan PAS boleh memberikan sokongan kepada parti dan calon anak tempatan yang ‘mesra’ BN dan PAS bagi membuktikan BN dan PAS komited membantu Sabah dan Sarawak membina masa depan cemerlang di dalam negara Malaysia….