Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Ketika UMNO bersama PAS, gerakan penyatuan ummah membawa kepada Muafakat Nasional.
Tertubuhnya Perikatan Nasional, mulalah timbul syak wasangka yang mengancam penyatuan dan muafakat yang sudah terbentuk itu.
Semasa Barisan Nasional dan PAS bersatu sebagai pembangkang, matlamat jelas menentang Pakatan Harapan.
Apabila menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pecahan PPBMnya serta Azmin Ali dan pecahan PKRnya untuk stabilkan politik negara, jawatan dan kedudukan yang diambil itu mula menjurangkan kepimpinan parti dari akar umbi.
Kalau sudah menjadi sebahagian dari kerajaan, isu-isu besar seperti Tabung Haji, Felda dan kes arwah Adib semuanya tergantung tanpa penyelesaian. Penjualan aset hendak diteruskan juga dan hanya ditangguhkan.
Hikayat Puteri Gunung Ledang dihidupkan untuk menggagalkan hasrat rakyat kerana ia dianggap permintaan Barisan Nasional dan bukan kehendak mereka yang tertekan.
Bukan PPBM yang bersuara tetapi wakil PAS. Kata sepakat sebagai pembangkang 8 bulan dahulu dikorbankan kerana adanya pemimpin seronok dengan jawatan dan kedudukan.
Telinga semakin dijauhkan daripada suara rakyat. Atau hati sudah terpedaya oleh perut yang terlalu kenyang.
Bukankah jelas apabila pihak ketiga mula masuk campur, apa yang jelas menjadi kabur dan kelam kabut.
Kembalilah kepada perjuangan demi kesejahteraan ummah.