Ahli politik veteran DAP yang juga ayah kepada Lim Guan Eng berkata jika masa berkempen ada lagi seminggu maka kemenangan dua pertiga UMNO-Barisan Nasional dapat dinafikan Pakatan Harapan. Kenyataan defensif ini dibuat semata-mata untuk menafikan populariti bekas Perdana Menteri keenam Dato Sri Mohd Najib Tun Razak yang berjaya membantu kempen di PRN Johor baru-baru ini.
Betapa bencinya Lim Kit Siang terhadap Najib, sama seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin, mereka tidak boleh menafikan bahawa populariti Najib berjaya membantu kempen UMNO-Barisan Nasional yang mendapat sambutan hangat di setiap tempat yang dihadirinya. Hakikatnya, tiada beza jika masa berkempen ditambah kepada seminggu atau sebulan lagi jika mood rakyat ketika ini mahukan kerajaan yang lebih stabil dan mampu mentadbir negara dengan lebih baik serta serik dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang dilihat gagal oleh mereka.
Alasan Kit Siang ini membuktikan sindrom penafian DAP dan Pakatan Harapan yang terbukti dibenci rakyat di seluruh negara, yang hanya menanti masa untuk menolak DAP sepenuhnya di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak. Kit Siang malu berdepan dengan realiti ini walaupun masih mendapat sokongan segelintir masyarakat Cina yang bersimpati dengan mereka namun secara keseluruhannya DAP dan Pakatan Harapan tidak lagi relevan di mata rakyat.
Jika berani, usahlah Kit Siang asyik bertanding di kerusi selamat, tetapi hadapilah PRU-15 seperti ahli politik lain yang mempertahan kerusi di negeri kelahirannya pada setiap kali pilihan raya umum dilaksanakan. Malah lebih baik jika beliau dan Tun Mahathir bersara terus daripada politik dan tumpukan masa kepada keluarga.