JALUR GEMILANG: MAKNA DI SEBALIK REKA BENTUK

601
SHARES
1.9k
VIEWS

1. Pada tahun 1949 dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

2. Reka bentuk milik Mohamed Bin Hamzah, arkitek jabatan kerja raya telah dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut yang kemudiannya diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950.

3. Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu hasil ciptaan Mohamed Bin Hamzah telah dikibarkan di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

4. Setiap elemen atau aspek yang terdapat pada reka bentuk bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang mempunyai huraian masing-masing. Malah perkataan ‘jalur’ dan ‘gemilang’ juga mempunyai maknanya yang tersendiri.

5. Jalur menggambarkan bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Ia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

6. Gemilang pula bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Ia memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

7. Warna biru menggambarkan perpaduan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara ini seperti Melayu, Cina, India, manakala warna merah pula menunjukkan keberanian dan kesediaan dalam mengharungi segala jenis cabaran demi negara yang tercinta.

8. Warna putih melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat dalam mengangkat nama negara ke persada dunia, manakala warna kuning melambangkan warna Diraja, secara khususnya menggambarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang Berperlembagaan.

9. Bulan dan bintang menggambarkan agama Islam sebagai agama persekutuan negara. Bintang berbucu 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan, manakala 14 jalur berwarna merah dan putih yang sama lebar menggambarkan 13 buah negeri anggota dan sebuah Wilayah Persekutuan yang memiliki keanggotaan yang sama dalam negara Malaysia.

10. Ayuh bersama kita kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023. Selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 (HKHM 2023).

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts