MEMAHAMI ERTI ORANG MELAYU DAN BANGSA MELAYU

1.1k
SHARES
6.1k
VIEWS

Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain

Penasihat Gabungan MI’RAJ

Bangsa dari sudut undang-undang antarabangsa pada hari ini ialah rakyat sebuah negara yang diidentitikan dalam kerangka takrifan negara (state-defined). Terjemahan bangsa ialah ‘nationality‘ yang merujuk kepada sebuah negara, justeru lahirlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Warganegara atau citizenship pula memberi maksud sama.

Di Alam Melayu, istilah rakyat Raja lebih luas penggunaannya dan dari sudut sosiologi menunjukkan salah satu elemen Melayu. Rakyat Raja Melayu yang beragama Islam akhirnya dikenali sebagai orang Melayu dan kekal sehingga kini di dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekutuan 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mentakrifkan “Orang Melayu” dan Orang Asli sebagai penduduk asal di Tanah Melayu.

Dalam konteks takrifan ‘bangsa’, rakyat Raja Melayu ialah BANGSA MELAYU dan sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 hanya orang Melayu dikenali sebagai BANGSA MELAYU. Hal ini kerana Orang Asli walaupun merupakan rakyat Raja Melayu, mereka secara umumnya ingin mengekalkan etnik sebagai identiti kumpulan masing-masing.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu merupakan satu proses yang menunjukkan perkembangan negara-bangsa apabila kaum-kaum pendatang diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Walau bagaimanapun kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asli sebagai BANGSA ASAL dipelihara malah terus dijamin dalam Perkara 153 dan 8(5) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hakikatnya, BANGSA MELAYU pra 1948 dengan BANGSA MELAYU pasca 1948 perlu difahami dengan jelas.

Satu perkara yang tidak boleh diabaikan ialah taat setia oleh setiap warganegara kepada elemen-elemen watan Tanah Melayu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama Tanah Melayu, institusi Raja Melayu, bahasa Melayu termasuklah tulisan Jawi, adat resam Melayu, serta kedudukan orang Melayu dan orang Asli sebagai bangsa asal satu kewajipan kewarganegaraan.

Kedudukan elemen-elemen watan tidak patut dipertikai kerana itulah syarat yang perlu diterima sebelum seseorang itu diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu apatah lagi kepentingan sah kaum-kaum lain juga termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai BANGSA MELAYU pasca 1948.

Dari sudut ini, penerimaan kaum-kaum pendatang atau bangsa asing sebagai BANGSA MELAYU (warganegara Persekutuan Tanah Melayu) perlu disertai dengan kefahaman bahawa mereka hendaklah mentaati prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan termasuklah mengasimilasi, atau sekurang-kurangnya mengakomodasi diri mereka dengan jati diri watan Tanah Melayu kerana itulah jati diri BANGSA MELAYU.

Seorang warganegara Persekutuan Tanah Melayu atau BANGSA MELAYU tidak mungkin lagi boleh mengekalkan ke’bangsa’an lain sama ada China atau India atau Arab atau Eropah. Hal ini berbeza dengan pengenalan etnik yang boleh dikekalkan.

Sejarah membuktikan rakyat Raja Melayu semasa Kesultanan Melayu Melaka hidup dalam harmoni di zaman keagungannya di samping bangsa-bangsa lain yang berdagang mahupun mendiami Tanah Melayu.

Keharmonian yang sama dirasakan dalam masyarakat majoriti orang Melayu di mana-mana bahagian di Tanah Melayu begitu juga selepas Malaysia terbentuk. Keadaan itu menunjukkan betapa elemen-elemen watan sekiranya dipelihara dan diamalkan dapat memupuk perpaduan nasional.

Misalnya, sehingga tahun 1990-an tulisan Jawi tidak menjadi isu, malah jika dilihat suatu tempoh masa lebih awal, tulisan Jawi dimartabatkan di mana-mana sahaja, termasuklah premis perniagaan bukan Melayu.

Ringkasnya, warganegara Persekutuan Tanah Melayu ialah BANGSA MELAYU yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, anutan agama dan pendokong jati diri Tanah Melayu.

Dokongan kepada jati diri Tanah Melayu tidak bersifat paksaan kepada penganutan agama Islam. Jati diri watan Tanah Melayu ialah pra-syarat seorang warganegara, malah sehingga kini masih terpelihara dan merupakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan meletakkan jati diri watan Tanah Melayu di tempat yang tinggi dan tidak boleh dilihat sebagai satu diskriminasi kepada mana-mana pihak.

Bukan rakyat Raja Melayu ketika diterima sebagai warganegara Tanah Melayu, jati diri watan Tanah Melayu sudah sedia ada malah menjadi pra-syarat ketaatan mereka.

Setiap warganegara malah mana-mana orang yang memasuki Malaysia mesti menghormati prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan kerana di situ juga letaknya kedaulatan undang-undang.

Oleh kerana itu, jati diri watan Tanah Melayu tidak boleh dicabar mahupun cuba digugat oleh mana-mana pihak.

Demi menjaga keutuhan prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang negara maka setiap Menteri, Hakim, Ahli Parlimen dan pegawai-pegawai yang dinyatakan oleh undang-undang diwajibkan mengikrarkan sumpah jawatan seperti Jadual 6 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bertanggungjawab untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan jati diri watan Tanah Melayu jelas lebih kukuh kerana jati diri watan termasuk dalam jaminan Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia, jaminan kedudukan istimewa diberikan kepada anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak.

Begitu juga halnya apabila berlaku perkahwinan antara orang Melayu dengan kaum-kaum bukan Melayu, zuriat mereka menjadi orang Melayu. Kedudukan di atas menunjukkan asimilasi boleh berlaku secara perkahwinan selama mana seseorang itu mengekalkan syarat-syarat seorang Melayu di bawah takrifan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, mana-mana warganegara Persekutuan Malaysia yang tidak boleh menghormati watan Tanah Melayu juga kedudukan istimewa anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, dan ingkar untuk menghargainya patut berasa malu untuk mengaku sebagai BANGSA MALAYSIA.

Penjelasan lanjut tentang BANGSA MALAYSIA boleh dirujuk dalam buku bertajuk “KENEGARAAN MALAYSIA: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan” .

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts