WIRA PUTRA DESAK KERAJAAN BATALKAN CADANGAN PENGECUALIAN VISA KEPADA PELANCONG CHINA DAN INDIA

120
SHARES
386
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENAJA

PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

1. Wira PUTRA tidak bersetuju dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dan mendesak kerajaan agar tidak meneruskan hasrat mengecualikan Visa kepada pelancong dari negara China dan India.

Rujuk:

https://suaramerdeka.com.my/warganegara-china-dikecualikan-visa-tahun-depan/

Ini dilihat berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

2. Jumlah pelancong yang ‘melencong’ dan tidak keluar daripada negara ini amat membimbangkan warga Malaysia. Lebih-lebih lagi hari ini kecoh dengan kebangkitan kumpulan pengganas komunis dan LTTE yang tidak henti-henti mencabar kedaulatan negara. Tindakan kumpulan ini juga dibimbangi akan mengancam keharmonian dan perpaduan negara. Pengecualian ini juga akan membuka ruang sebesar-besarnya kepada kumpulan pengganas ini menyusun strategi untuk menyusup masuk ke dalam negara ini secara beramai-ramai.

3. Kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan bagi mengenalpasti dan menangkap pelancong yang tinggal lebih masa berbanding daripada menambah jumlah kemasukan. Sedangkan undang-undang negara Malaysia cukup ketat, namun, kita masih lemah dari segi penguatkuasaan sehingga pelancong-pelancong itu berani tinggal dan bekerja di Malaysia secara haram.

Kumpulan ini bukan sahaja telah mencuri peluang pekerjaan rakyat Malaysia malah telah mengurangkan kuasa membeli rakyat negara ini apabila jumlah pengangguran rakyat meningkat. Pelancong yang melencong ini juga lebih cenderung untuk kirim wang pendapatan mereka ke kampung halaman berbanding berbelanja di dalam negara.

4. Lebih menghairankan lagi, bagaimana sepanjang tempoh ini mereka berjaya berada di dalam negara ini tanpa ada penangkapan dan sebagainya? Adakah pelancong-pelancong daripada China dan India yang lesap ini mencerminkan kewujudan beberapa sindiket di kalangan rakyat Malaysia yang memberikan perlindungan kepada mereka?

Adakah ini juga bermakna bahawa sindiket yang sama akan berusaha mendapatkan kad pengenalan bagi mereka dengan pembohongan, kononnya oleh kerana mereka tinggal jauh di pedalaman – di estet-estet dan di kebun-kebun sayur – maka mereka tidak mempunyai surat beranak dan dengan itu tidak berani keluar ke pekan-pekan untuk mendapatkan kad pengenalan masing-masing sebagaimana dituntut oleh undang-undang negara?

5. Justeru, Wira PUTRA menggesa kerajaan membatalkan hasrat memudahkan pelancong daripada China dan India memasuki negara ini. Tambah baik sistem dan penguatkuasaan terlebih dahulu kerana sehingga kini dua faktor ini masih gagal dilaksanakan oleh kerajaan.

Jadilah kerajaan yang menjaga kedaulatan dan keselamatan negara serta cukup-cukuplah menjadi pemimpin yang materialistik dan akhirnya mewujudkan rasa tidak senang serta tidak selesa dan menindas rakyatnya di negara sendiri.

Sekian.

Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penaja

Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts