TAHALUF SIYASI 2.0?

405
SHARES
2.4k
VIEWS

Kenyataan panjang Datuk Seri Haji Hadi untuk ‘menghalalkan’ kerjasama ‘bi-partisan’ dilihat hanya memualkan dan menghalalkan cara. Alasan yang beliau nyatakan tidak bertepatan dengan situasi semasa dan ada juga yang bersifat tuduhan. Selain itu mungkin beliau lupa slogan “No DAP No Anwar” sebelum ini yang rancak dimainkan. 

Bagaimana seorang yang dihormati boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sendiri demi untuk kekal berkuasa?

Jika dahulu DAP didakap, kemudian dinyahkan, sehingga memunculkan PAN, namun kini apabila tersepit, DAP kembali ‘disucikan’?

Perkataan ‘tahaluf’ atau kerjasama dimainkan kembali kali ini yang hanya merendah-rendahkan martabat PAS selaku “parti Islam”. Perjuangan yang sepatutnya berlandaskan Islam, mentaati amir atau ketua iaitu Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Negara dan Ketua Agama Islam di negara ini sewajarnya diutamakan. Namun kini perjuangan mengekalkan kuasa dan Perdana Menteri pula menjadi pegangan dan perjuangan, titah YDP Agong juga tidak diendahkan. 

Alasan Haji Hadi, “Di sana terdapat dalam kalangan mereka yang bermusuh terhadap Islam, tetapi menghormati asas akhlak yang mulia dalam membela orang yang dizalimi, bersimpati terhadap mereka yang miskin, memuliakan tetamu dan lain-lain” – adakah ini sifat DAP ketika ini, yang suatu ketika dahulu menjarah harta dan aset negara dan umat Islam termasuk Tabung Haji, membiarkan pembunuhan arwah Adib tanpa pembelaan serta tindakan meratifikasi ICERD yang ingin mengheret Raja-raja Melayu ke mahkamah antarabangsa, sudah boleh diterima dan ‘dihalalkan’?

Alasan Haji Hadi seterusnya, “Pendekatan secara demokrasi dengan mendahulukan titik persamaan dan menangguhkan perbezaan yang tajam sebelum ia dapat ditumpulkan” – bukankah ini yang gagal dilakukan oleh PAS sejak sekian lama sehingga mengambil keputusan keluar Pakatan Rakyat? Selain itu apa maksud “pendekatan secara demokrasi” jika Perdana Menteri secara tidak langsung mengakui beliau telah melanggar Perlembagaan apabila tidak meletakkan jawatan? Bukankah tindakan menghalang Parlimen bersidang ini sedang memandulkan demokrasi sehingga ditegur Istana Negara berkali-kali? 

Selanjutnya Haji Hadi beralasan, “Kita dapat menilai bagi menerima kalangan mereka yang bersikap ingin menyelamatkan nyawa rakyat dan juga menolak kalangan mereka yang gila kuasa tanpa mempedulikan nyawa rakyat” – siapa yang beliau maksudkan dan di mana buktinya? Jika tiada, ini hanyalah andaian atau tuduhan daripada Presiden PAS kerana yang berkuasa dan memerintah sekarang ini ialah Perikatan Nasional termasuklah PAS, dan di bawah pemerintahan inilah kematian rakyat meningkat termasuk yang tertekan sehingga membunuh diri. Buktinya? Cukup dengan PAS menyemak data harian yang dikeluarkan KKM dan MKN serta PDRM. Tidakkah Haji Hadi boleh menilai sendiri? 

Beliau juga memberikan alasan, “Dalam pada itu, wabak rasuah juga terdapat titik persamaan yang tidak boleh diterima. Maka, janganlah didahulukan untuk mendapatkan kuasa sehingga punca penyakit rasuah dibiarkan berkuasa lagi” – punca kuasa ketika ini ada pada Perikatan Nasional termasuk PAS. Kenapa tidak mahu banteras rasuah, tubuhkan RCI terhadap semua yang dilakukan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan? Bahkan UMNO sendiri meminta RCI dilakukan terutamanya bagi menyiasat Tabung Haji dan arwah Adib, termasuklah 1MDB. Presiden PUTRA Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali juga kerap membangkitkan isu RCI ini. Kenapa PAS melepaskan peluang ini? Jika dahulu PAS memberi alasan tidak mempunyai kuasa, kenapa kini apabila sudah mempunyai kuasa PAS tidak mahu menggunakannya? Selain itu, Hadi kata “punca penyakit rasuah”, apa kata beliau perincikan apa punca rasuahnya itu dan tawarkan diri menjadi saksi? Jangan kata mengenai rasuah secara semberono jika tidak perincikan kes, bukti atau takut menjadi saksi. 

Alasan Hadi lagi, “Selepas keadaan mengizinkan, maka barulah kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa. Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul” – Haji Hadi nampaknya tidak faham Perlembagaan dan tidak tahu “punca kuasa”. Tiada ‘kita’ yang beliau maksudkan kerana setelah Perdana Menteri akui secara terbuka (yang disiarkan secara langsung) bahawa beliau tidak cukup majoriti dan tidak ikut Perlembagaan, maka ketika ini kuasa kembali pada YDP Agong. Tiada istilah ‘kita’ seperti yang Hadi bayangkan. Bersabarlah Haji Hadi, berilah ruang kepada YDP Agong untuk membuat keputusan siapa yang pada hemat baginda layak menerajui negara menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Jangan memandai-mandai mahu mengekalkan kuasa individu tertentu tanpa mengikut Perlembagaan. 

Cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah, sehingga mereka dibejati dengan penyakit rasuah” – ini tuduhan atau fitnah? Jika menuduh, maka bebanan pada bahu beliau untuk buktikan. Jika fitnah beliau perlu bertaubat. Jika mempunyai bukti, boleh kemukakan di mahkamah dan menawarkan diri menjadi saksi. Ingatlah kisah Nabi Yusuf AS yang bukan sahaja didakwa atau berdepan kes mahkamah, malah baginda telah dipenjarakan, sedangkan baginda tidak bersalah. Jika tidak pasti, lebih baik berdiam diri dan jangan ikut menyebar fitnah, kelak fitnah itu akan menghambat anda kembali. 

Penutup kata Haji Hadi disudahi dengan kenyataan, “Maka kalangan yang menolak pelawaan untuk bersatu padu menyelamatkan rakyat dan negara, demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat” – mungkin Hadi tidak mahu akui bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah gagal yang dibuktikan dengan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dan seolah-olah tidak terkawal lagi. Kematian meningkat, ekonomi semakin lumpuh, punca utama Covid-19 iaitu sektor perkilangan tetap dibiarkan, pelaburan tidak masuk hatta daripada Timur Tengah, iaitu portfolio dan tanggungjawab Haji Hadi sendiri juga tidak menunjukkan sebarang pelaburan. Inilah bukti kerajaan gagal dan  jika kerajaan ini diteruskan, inilah bukti “… demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, (mereka) adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat“. 

Wallahualam, semoga semua pihak muhasabah. Apapun Tahaluf Siyasi 2.0 sudah dilancarkan, DAP sudahpun disucikan.

Buat DAP, sambutlah tangan jajaran baharu ini demi secangkir kuasa bersama Perikatan Nasional, cuma perlu diingat, ketika ini punca kuasa pada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-raja Melayu, bukannya Perikatan Nasional. 

Cuma DAP jangan ‘menyalak’ jika selepas ini mereka akan ‘diharamkan’ kembali.

Kita sudahi dengan sebuah hadis;

Dari Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda: “Di akhir zaman nanti akan muncul orang orang yang berselindung atas nama agama untuk memburu dunia. Mereka akan memakai pakaian dari kulit lembut kambing (supaya orang menyangka bahawa mereka tidak gemar akan dunia.) Lidah-lidah mereka lebih manis dari gula. Akan tetapi hati-hati mereka adalah hati serigala.” Allah akan berfirman perihal mereka: “Adakah kerana kesempatan yang telah AKU berikan makanya mereka terpedaya? Adakah kerana mereka tidak takutkanKU, lantaran itu mereka berani melawanKU? AKU bersumpah dengan namaKU bahawa AKU akan bangkitkan suatu fitnah di kalangan mereka sehingga membuatkan para cerdik pandai merekapun tertegun kehairanan (dan susah hati.) Yakni AKU akan tentukan di kalangan mereka beberapa orang yang akan menyusahkan mereka dengan berbagai cara.” (HR Tirmizi)

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts