MAHKAMAH BEBAS GUAN ENG, PHANG DARI TUDUHAN RASUAH

347
SHARES
2k
VIEWS

Seperti yang telah diduga, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balas daripada peguam.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Mohd Masri Daud memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut namun Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Hadhariah berkata permohonan tersebut tidak dapat diterima kerana sebelum ini pihak pendakwa sudah menarik balik tuduhan yang dikenakan kepada kedua-dua individu terbabit.

“Kita bukan bergerak perlahan sebaliknya kita menunggu kes ini.”

“Sekarang pasukan pendakwa meminta ia ditarik balik, tetapi kita tidak boleh membenarkan anda melakukannya secara beransur-ansur atau tertangguh.”

“Mahkamah tidak boleh membiarkan kes ini begini selamanya. Kita perlu meletakkan tanda noktah untuk menutupnya.”

Lim yang kini menjadi Menteri Kewangan didakwa bersama Phang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa.

Menurut Mohd Masri pihaknya mengkaji hujah yang diberi tertuduh dan bersetuju untuk menggugurkan semua dakwaan.

Bagaimanapun katanya pihak pendakwa meminta mahkamah menimbangkan Lim dan Phang dilepas tetapi tidak dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah.

Peguam Lim serta Phang membantah permohonan berkenaan.

Menurut Ramkarpal Singh – yang mewakili Lim – mahkamah tidak wajar terus membiarkan tuduhan itu tergantung begitu saja.

Katanya mahkamah perlu memberi pembebasan penuh kecuali dalam keadaan khusus seperti ketiadaan saksi untuk memberi keterangan.

Peguam Phang V Sithambaram pula menambah Pejabat Peguam Negara sudah mengkaji dan meneliti hujah yang dikemukakan tertuduh dan tidak wajar mereka terus ‘terikat’ dengan dakwaan tersebut kerana ia bermakna mereka boleh dituduh semula pada masa depan.

Hakim kemudian bersetuju dengan hujah Ramkarpal Singh serta Sithambaram. Katanya mahkamah tidak boleh terus menangguhkan kes berkenaan terutama kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Kata Hadhariah setakat ini sudah 25 orang saksi memberi keterangan dan perbicaraan belum diselesaikan sejak ia didengar Mac lalu.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts