BAJET 2019: GUAN ENG MERENGEK – NAJIB

358
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

27 September 2018

Pagi ini, Lim Guan Eng merengek bahawa dia mungkin akan diingati sebagai Menteri Kewangan paling tak popular dalam sejarah.

Ini berikutan Bajet 2019 yang akan dibentang tidak lama lagi akan memotong banyak bantuan untuk rakyat ataupun mengenakan lebih banyak cukai baharu dengan alasan hutang negara RM1 trilion rekaan kerajaan PH perlu dilangsaikan.

Sekian lama, kerajaan PH menggunakan alasan hutang telah mencecah RM1 trilion tetapi ramai ahli-ahli ekonomi termasuk Moody’s telah mempertikai kaedah mengira hutang dibuat PH.

Sebagai contoh, apabila Guan Eng menperincikan bagaimana hutang sudah menjadi RM1 trilion dia telah memberitahu bahawa RM201.4 bilion dari RM1 trilion ini ialah kerana kerajaan perlu membayar kos sewa dan kos penyelenggaraan.

Siapa antara saudara-saudari yang menyewa rumah ataupun pejabat pernah mengambil kira atau memasukkan kos sewa dan kos penyelenggaraan sebagai hutang peribadi anda?

Masalah pokok kerajaan hari ini sebenarnya ialah akibat daripada langkah diambil mereka sendiri selepas PRU14 untuk memberi tempoh 3 bulan sifar cukai tanpa GST ataupun SST, menggantikan GST dengan SST, mengembalikan subsidi pukal dan pembatalan projek-projek secara meluas.

Ini telah mengakibatkan kerajaan kehilangan dana sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun tidak termasuk wang input GST yang perlu dibayar balik kerana GST tiba-tiba disifarkan dan dimansuhkan.

Pembatalan projek-projek secara meluas juga akan merendahkan kadar pertumbuhan ekonomi. Jika ditambah dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan bantuan termasuk bayaran BR1M maka ini akan menyebabkan aktiviti ekonomi di dalam negara akan menjunam lebih banyak lagi sehingga Malaysia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.

Tetapi lebih senang untuk mereka menuding jari kepada kerajaan lama dan saya dengan cerita hutang RM1 trilion.

Saya juga pasti bahawa bajet 2019 akan merupakan bajet defisit. Ini bermakna hutang negara akan bertambah dan bukan dikurangkan. Guan Eng sudah memberi gambaran ini akan berlaku kerana sejak minggu lalu, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menerbitkan lebih banyak bon kerajaan. Menerbitkan bon maksudnya meminjam wang. Dan ini adalah hutang.

Selama 9 tahun di bawah kerajaan BN pimpinan saya, saya tidak pernah meminta rakyat untuk ‘berkorban.’ Ekonomi semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah. Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban.

Kerajaan PH perlu terima hakikat bahawa polisi-polisi dan langkah-langkah sendiri yang telah menukar hala tuju ekonomi kepada arah yang lebih teruk dan akhirnya mahu rakyat berkorban ekoran dasar teruk itu.

Dahulunya, kita ada Program Transformasi Negara yang begitu teratur dan berkesan.

Kini kita ada Menteri Kewangan yang takut popularitinya terancam dan satu kerajaan yang minta rakyat untuk berkorban oleh kerana langkah-langkah regresif mereka.

(Dipetik melalui laman Facebook beliau)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts