TERCALARNYA KELUHURAN PERLEMBAGAAN

399
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA 

1. Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang adalah bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau Perlembagaan itu sendiri. Ia juga mengatasi Yang Di-Pertuan Agong, Parlimen, Perdana Menteri dan Badan Kehakiman iaitu sebagai pelindung kepada sekalian rakyat.

2. Tetapi baru-baru ini dapat dilihat keluhurannya dicemar oleh kelompok yang diharapkan untuk melindungi iaitu Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Menteri Undang-undang dan beberapa pengamal undang-undang ternama di Malaysia.

3. Hal ini dikritik keras oleh netizen dan juga pengamal undang-undang yang lain. Bagaimanapun, terdapat juga kalangan yang ‘mempositifkan’ isu ini (termasuklah sokongan bekas ahli politik veteran) yang seolah-olah bersetuju dengan tindakan mereka yang berjoget tanpa segan silu tanpa mengambil kira kedudukan dan ikatan tanggungjawab mereka.

4. Pengasingan kuasa dan hak bersosial adalah dua perkara yang berbeza, akan tetapi jurangnya itu tidak boleh dibezakan bagi mereka yang diamanahkan sebagai ketua bagi dua badan besar iaitu badan kehakiman dan perundangan di Malaysia.

Tindakan seperti ini tetap mencalar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara. Tindakan peribadi sewajarnya diambil oleh pelakunya bagi mengekalkan kebersihan dan integriti jawatan berkenaan.

5. Perkasa turut menyokong pandangan peguam Haniff Khatri Abdulla agar Ketua Hakim dan Menteri Undang-Undang muhasabah diri atas perilaku mereka. Kerana jika saya sendiri sebagai Ketua Hakim Negara atau Peguam Negara yang telah melakukan kesalahan seperti itu, saya akan meletakkan jawatan segera atau memohon maaf secara terbuka dan seterusnya menyucikan diri dengan mandi di 13 telaga iaitu di setiap negeri satu telaga bagi memastikan institusi ini kekal suci dan bersih pada perspektif masyarakat.

6. Pesanan peribadi saya, jika nak mencari pasangan menari, carilah dari kalangan artis-artis tersohor ataupun importlah dari Hollywood atau Bollywood. Kerana tak berbaloi dikecam sebegini hebat oleh masyarakat jika sekadar menari dengan Siti Kassim dan Ambiga.

Sekian.

Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangan PERKASA Malaysia

21 Januari 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts