PROGRAM LeaP-tivity PENDIDIKAN KHAS PERINGKAT NEGERI PERAK

387
SHARES
2.3k
VIEWS

Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah buat julung kalinya menganjurkan program LeaP-tivity Pendidikan Khas Negeri Perak Tahun 2022.

Program ini dilaksanakan pada 20 hingga 22 September 2022 di Bukit Merah Laketown Resort, Perak dan 26 hingga 29 September 2022 di Tower Regency Hotel, Ipoh, Perak melibatkan 435 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) program pendidikan khas integrasi (PPKI) seluruh negeri Perak dengan sokongan 14 orang pemudahcara pelbagai disiplin dan barisan 21 orang sukarelawan siswa UPSI daripada Fakulti Pembangunan Manusia.

Fokus utama program ini adalah aktiviti belajar dan bermain bagi menggalakkan perkembangan kemahiran utama dalam pembelajaran iaitu motor halus, motor kasar, bahasa, komunikasi dan sosial serta kognitif. Bermain adalah aktiviti yang paling bermakna bagi kanak-kanak di mana mereka menghabiskan kebanyakan masa dengan bermain. Oleh itu, aktiviti tersebut perlulah menjadi medium utama penyampaian pembelajaran kanak-kanak. Berdasarkan faktor ini, program LeaP-tivity ini dianjurkan. 

Berkonsepkan pembelajaran melalui bermain, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di semua enam stesen LeaP-tivity Station Walk iaitu stesen motor kasar, motor halus, integrasi sensori, persepsi visual, pengurusan diri dan penyediaan makanan yang dikendalikan oleh pemudahcara pelbagai disiplin yang terdiri daripada Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Fisioterapi dan Pegawai Sains Pemakanan. Penglibatan MBPK dalam program ini memberi pengalaman baharu, mempelajari dan mengasah kemahiran mereka yang holistik.

Di samping itu, para pendidik yang mengiringi MBPK juga meraih pengalaman dan kemahiran baharu dalam merancang aktiviti pembelajaran yang berasaskan bermain menerusi program ini. Sukarelawan siswa UPSI yang membantu pemudah cara juga didedahkan dan dilatih untuk mengendalikan MBPK dan aktiviti bermain yang boleh membantu pembelajaran murid berkeperluan pendidikan khas. 

Lokasi di luar bilik darjah serta aktiviti yang menarik memberikan sejuta manfaat kepada MBPK, pendidik, pemudahcara dan sukarelawan siswa. Biarpun penat, keseronokan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang gembira melakukan aktiviti di setiap stesen secara berkumpulan. Turut menjadi tarikan program ini adalah pertandingan mewarna logo LeaP-tivity yang diadakan usai murid melengkapkan kesemua aktiviti di setiap stesen di mana 15 orang pemenang yang dipilih setiap hari.

Pembelajaran kanak-kanak menjadi lebih bermakna dan berkesan apabila kanak-kanak seronok melakukannya. Aktiviti bermain menjadi pilihan terbaik untuk melakukannya. Program yang menekankan konsep belajar dan bermain memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak dan pendidik. Biarpun aktiviti LeaP-tivity Pendidikan Khas Tahun 2022 telah melabuhkan tirainya, diharap MBPK dan pendidik PPKI akan meneruskan aktiviti belajar melalui bermain yang menyeronokkan di sekolah masing-masing.

Semoga program ini dapat menjadi suatu aktiviti tahunan anjuran bersama Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk memberi manfaat berterusan kepada MBPK, pendidik, siswa serta komuniti setempat.

Oleh;

Dr Iylia Dayana Bt. Shamsudin

Penyelaras, Unit Sistem Data dan IT

Ahli Terapi Cara Kerja, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) 

Puan Nor Atiqah Satari

Pegawai Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Pembangunan Manusia

Puan Fara Atika Mat Isa

Pegawai Pemulihan Cara Kerja, Pusat 3PK Ipoh

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts