KEPENTINGAN KEMAHIRAN PROTOKOL DALAM KALANGAN PEGAWAI PENDIDIKAN

Pahang – Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang (BRendS) yang beralamat di No. 1, Km 12 Jalan Kuantan–Pekan Inderapura, Kuantan, Pahang telah mengadakan Kursus Amalan Pengacaraan Majlis Berkesan, semalam.

Memandangkan sekolah ini akan menjadi tuan rumah bagi Konvensyen Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang dijadualkan berlangsung pada 23 Jun 2026, Guru Besar sekolah tersebut, Puan Hajah Marfoah binti Haji Yunos, telah mengundang Dr. Hajah Sa’adiah Shuib untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau sebagai pengacara majlis yang telah diceburinya sejak tahun 1985.

Kehadiran peserta kursus amat memberangsangkan di mana Hajah Marfoah turut mengundang beberapa buah sekolah di sekitar kawasan tersebut untuk bersama-sama menjayakan jalinan dan jaringan profesional ini. Seramai 123 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, guru-guru besar serta guru-guru dari beberapa buah sekolah menengah dan sekolah rendah di sekitar Kuantan, termasuk guru-guru BRendS sendiri, telah hadir untuk mendapatkan perkongsian ilmu berkaitan amalan pengacaraan majlis yang berkesan.

Antara perkara yang dikongsikan oleh Dr. Hajah Sa’adiah ialah jika sesuatu program tidak mempunyai majlis pembukaan, maka secara automatiknya tiada majlis penutupan kerana keadaan tersebut akan menyalahi protokol dan menyebabkan struktur majlis kelihatan tidak seimbang. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bagi program yang berlangsung secara berterusan, seperti bengkel selama tiga hari, majlis boleh dimulakan tanpa perasmian pembukaan tetapi diakhiri dengan majlis penutupan rasmi pada hari terakhir kerana program tersebut tidak bersifat formal pada peringkat awal pelaksanaannya.

Secara keseluruhannya, kursus ini telah memberikan pendedahan yang jelas kepada para peserta tentang amalan pengacaraan majlis yang berkesan serta kepentingan mematuhi protokol dalam pengendalian sesuatu majlis.

Penganjuran kursus ini diharapkan dapat membantu meningkatkan keyakinan dan kemahiran para guru dalam mengendalikan majlis secara lebih tersusun dan profesional, khususnya menjelang Konvensyen Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang akan berlangsung di sekolah ini pada 23 Jun 2026 hadapan. 

Penulis Dr. Hajah Sa’adiah Shuib merupakan bekas Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dan Munsyi Bahasa

Related Posts

No Content Available